03 Nov : Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International hari ini, naik satu anak tangga daripada kedudukan 54 ke 53 berbanding 2012.
Kedudukan CPI yang diukur berdasarkan skor daripada 0 ke 100 (0 paling tinggi rasuah ke 100 paling bebas rasuah) menyaksikan Malaysia mendapat skor 50 mata berbanding 49 mata yang diperoleh pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar (gambar), berkata prestasi tersebut masih perlu diperbaiki dan kerajaan harus lebih tegas dalam menangani isu melibatkan rasuah di dalam negara.
"Kita berada di landasan tepat, tetapi mereka (kerajaan) perlu bekerja lebih keras untuk menangani rasuah dan lebih efisien," katanya semasa membentangkan laporan CPI 2013 di Holiday Villa hari ini.
Akhbar berkata, prestasi itu disifatkan masih pada kedudukan sederhana meskipun pelbagai langkah dibawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diperkenalkan untuk menangani isu berkaitan rasuah.
"Tahap rasuah yang berlaku di Malaysia masih belum turun dengan signifikan," katanya.
Malaysia berada di kedudukan ketiga bagi skor CPI antara di kalangan negara Asean, Singapura berada pada kedudukan pertama dengan 86 mata dan diikuti Brunei Kedua dengan 60 mata.
Berbanding Singapura, kedudukan Malaysia masih jauh ketinggalan malahan negara jiran tersebut berada pada tangga kelima daripada keseluruhan 177 negara yang mengambil bahagian dalam kajian skor CPI ini.
Dua negara berkongsi kedudukan pertama, Denmark dan New Zealand memperoleh 91 mata dan merupakan yang paling bebas daripada gejala rasuah.
Dalam pada itu, TI-M juga mengesyorkan beberapa cadangan agar pindaan dibuat khususnya Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 dan 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping menambahbaik agensi penguatkuasa tersebut.
Selain itu, TI-M juga menggesa agar SPRM diberikan autonomi yang lebih untuk melakukan pendakwaan dan menangani isu berkaitan rasuah di dalam negara.
Pengarah Pemandu, Ravindran Devagunam yang juga hadir semasa pembentangan tersebut turut mengakui kelemahan yang dihadapi kerajaan dalam menangani isu rasuah, serta memberi jaminan akan mengambil beberapa pendekatan terutamanya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk berkongsi pandangan.
"Ini adalah sesuatu yang akan kami pertimbangkan.
"Kami akan bekerjasama dengan IDEAS, TI-M, Majlis Peguam bagi membantu mengenal pasti perkara yang perlu diubah dan bentangkan kepada Kabinet kemudiaan dibawa ke Parlimen," kata beliau.
Akhbar menegaskan kerajaan perlu lebih tegas dan menguatkuasakan amalan berdisiplin untuk mengelak salah guna kuasa dan rasuah daripada terus menjalar.
Laporan CPI dihasilkan berdasarkan sumber data daripada institusi bebas khusus dalam pentadbiran analisis klimaks perniagaan.
Sumber maklumat yang digunakan bagi laporan kali ini berasaskan data yang dikumpul sejak 24 bulan lalu. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan