SPECIAL ADS

4 Mei 2013

Angin sabotaj dalaman Umno makin kencang?


KUALA LUMPUR 04 Mei : Umno-BN semakin resah menjelang proses pembuangan undi pada 5 Mei ini memandangkan terdapat gerakan diperingkat bawahan BN yang akan melakukan sabotaj terhadap beberapa calon 'bukan pilihan akar umbi.’

Sumber dalaman Umno dibeberapa kawasan dan negeri menyebut, angin kencang sedang bertiup di peringkat bawahan Umno khasnya dan beberapa bahagian MCA yang bakal melancarkan kempen tidak mengundi calon pilihan Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menurut sumber di Kedah, kehadiran Dato' Mukhriz Mahathir yang dibayangkan sebagai calon Menteri Besar memberi kesan besar kepada akar umbi Umno di sana yang tidak mahu 'anak bapak' Tun Mahathir Mohamad itu menerajui pentadbiran negeri jika BN menang di sana.

Akibatnya, kata sumber, terdapat gerakan mensabotaj Mukriz di Dun Ayer Hitam berdepan calon PAS, Dato' Ghani Ahmad (penyandang dua penggal).

Sementara itu, di Baling, pencalonan Dato' Azeez Rahim juga sebenarnya tidak disenangi oleh peringkat bawahan memandangkan Azeez yang juga Pengerusi Putera Umno Malaysia pernah tewas di Baling pada tahun 2008 kepada calon PAS, Dato' Ustaz Taib Azamudeen Mohd Taib.

Kini, Azeez terpaksa berdepan cabaran getir dengan kehadiran bekas orang kanan Kagat, Dato' Brigidier Jeneral (B) Najmi Ahmad (adik kepada bekas Naib Yang Dipertua PAS, Nakhaie Ahmad) yang dikatakan mendapat sokongan padu masyarakat di Baling.

Selain itu, di Negeri Sembilan, beberapa Dun pula bakal menyaksikan caloncalon pilihan Najib akan disabotaj oleh peringkat akar umbi antaranya Dato' Ishak Ismail (Lenggeng); Wan Salwati Abdullah (Sikamat); Dato' Lilah Yassin (Dun Palong) dan Dato' Yunus Rahmat (Dun Klawang).

Sabotaj di Lenggeng bakal berlaku kerana akar umbi tidak mahu calon kitar semula (Ishak) dan sebelum ini beberapa orang kuat Umno di Seremban sendiri pernah menyatakan pendirian mahu calon lain.

Sementara, di Sikamat, kehadiran Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Wan Salwati mengecewakan mereka yang lebih veteran yang telah menyemai khidmat dengan Umno sejak berpuluh tahun lamanya.

Selain itu, di Dun Palong, pencalonan Lilah memberi kesan besar kepada krisis keyakinan masyarakat Felda Palong yang secara tradisinya diwakili oleh peneroka sejak beberapa penggal lalu.

"Lilah bukanlah seorang peneroka, beliau tidak faham masalah bapa kami,” kata seorang anak muda di Palong yang mahu dikenali sebagai Mohamad sahaja.

Sementara, di Dun Klawang pula, prestasi kurang baik Yunus yang dipertikai masyarakat setempat nyata tidak didengari pucuk pimpinan BN khasnya Najib yang meletakkan sekali lagi Yunus di kerusi yang hanya dimenangi dengan majoriti lebih 800 itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Ramai pengundi di peringkat bawah muak dengan Yunus dan akan melakar kejutan dan menyaksikan BN tumbang di sana pada 5 Mei ini. Yunus akan berdepan dengan calon PAS, Dr Rosli Yaakob yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan.

Di Wilayah Persekutuan pula, kehadiran Dato' Shafie Abdullah di Parlimen Wangsa Maju yang secara tradisinya adalah kerusi MCA memberi tamparan hebat yang bakal menyaksikan pengundi kaum Cina akan menolak calon Umno itu.

Begitu juga tindakan Najib meletakkan Naib Presiden Perkasa, Dato' Zulkifli Noordin di Shah Alam mengundang rasa tidak senang kaum bukan Melayu dalam MCA dan MIC di sana yang tidak menyukai sikap perkauman yang ditonjolkan Zulkifli itu.

Sementara, di Kuala Selangor, pencalonan Dato' Irmohizam Ibrahim dikatakan tidak disenangi aktivis Umno setempat kerana Irmohizam hanya menggunakan gerakan belia sahaja untuk menjalankan kempennya, berbeza dengan calon BN di Ijok, Parthiban yang lebih mesra jentera bahagian dan cawangan, kata sumber seorang pengundi muda di sana.

"Saya yakin, pengundi akan menolak Irmohizam kerana kurang peka sensitiviti veteran di sini," ujarnya.

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOb

Tiada ulasan: