SPECIAL ADS

20 Mei 2013

Dakwa Zahid Hamidi di bawah akta hasutan

GEORGETOWN 20 Mei : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan jika beliau tidak mengendahkan seruan ramai pihak supaya menarik balik kenyataan yang berbaur perkauman kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).

Mengulas tindakan yang sama dikenakan pada aktivis mahasiswa, Saudara Adam Adli beberapa hari sudah, beliau membidas itulah sikap berat sebelah Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap ikan jerung dan ikan bilis di Malaysia.

"Ikan Jerung tidak langsung ditegur walaupun kenyataan berapi-api menghina kaum lain di Malaysia tetapi ikan bilis ditahan dilokap, dipenjarakan dan didenda," tegasnya ketika ditemui di Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 di aras 52 Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) tengahari tadi.

Ujar beliau lagi, jika didapati bersalah mereka yang dikenakan  kanun keseksaan 124B, iaitu Akta Hasutan 4(1)(b) boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun.

Undang-undang terbabit tambahnya, diluluskan oleh Parlimen dan sepatutnya Zahid wajar menghormati apa yang telah diputuskan.

"Zahid Hamidi nyata telah melanggar Akta Hasutan 4(1)(b) apabila bertindak mengeluarkan kenyataan sesiapa yang enggan menerima sistem pilihanraya di Malaysia boleh meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan Pilihanraya mengikut kehendak yang digemari," katanya.

Apa yang dilaksanakan kepada Adam Adli sambungnya, tiada lain hanya dendam politik setelah tidak dapat mengawal kemaraan golongan muda serta mahasiswa terhadap keputusan Pilihanraya Umum Ke 13 lalu.

Bila Kerajaan BN menghalang dengan menggunakan undang-undang tersebut secara jelas itu bermakna Kerajaan BN tidak menghormati demokrasi berpalimen.

Hari ini Zahid Hamidi dalam kenyataanya enggan menarik balik kenyataan 'rasis' yang boleh menyumbangkan kepada perkelahian kaum sebaliknya bersedia berhadapan dengan Ahli Parlimen semasa persidangan Parlimen pertama penggal 2013 nanti.

Mohd Sabri Said, HDaily

Tiada ulasan: