SPECIAL ADS

16 Mei 2013

Ideas : SPR perlu reformasi jamin PRU14 bersih


KUALA LUMPUR 16 Mei :  Hanya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang benar-benar adil saksama, anggotanya terdiri daripada wakil dua parti utama negara, barulah pilihan raya akan datang boleh dilaksanakan dengan bersih.

Menurut wakil Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Keeran Sivarajah, lantikan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mestilah dibuka kepada semua dan bukannya ditentukan oleh pihak-pihak tertentu.

"Ideas memang mencadangkan sebuah agensi bebas yang duduk di bawah Parlimen.

"Sekarang ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya pada Seminar Pasca PRU13 : Ke Arah Mana Politik Malaysia, di sini, hari ini.

Jelasnya, apa yang paling penting ialah, sebuah suruhanjaya itu mestilah memenuhi keyakinan rakyat.

"Jika Parlimen pada hari ini mendapati SPR tidak telus, maka SPR mesti direformasikan," tegas beliau.

Keeran sebelum itu ditanya peserta seminar, bagaimana negara pada pilihan raya akan datang bebas daripada amalan penipuan yang didakwa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kita mencadangkan SPR yang baru di mana-mana ahli SPR dilantik secara terbuka. Sesiapa rasa layak untuk menjadi pesuruhjaya SPR, layak untuk memohon," katanya.

Sementara itu, Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ketika ditanya soalan sama, meminta hadirin menimbang dari aspek jumlah peratusan keluar mengundi luar biasa pada pilihan raya lalu.

"Di negara Turki, pilihan raya adalah diwajibkan, tetapi hanya 83 peratus keluar mengundi. Namun, di Malaysia, tidak wajib, yang keluar hanya mengundi 89 peratus.

"Tapi kalau begitu ramai kerana kesedaran baguslah," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Tiada ulasan: