SPECIAL ADS

3 Mei 2013

Kajiselidik: Populariti Najib merosot, Pakatan mendahului


KUALA LUMPUR 3 Mei:  Kajiselidik terbaru Merdeka Centre mendapati rating Pengerusi BN, Datuk  Seri Najib Tun Razak merosot 3 peratus berbanding tinjauan terakhirnya sebelum ini.
Kajiselidik di kalangan pengundi di Semenanjung antara 28 April hingga 2 Mei itu meletakkan Pakatan Rakyat mendahului BN dari segi parti pilihan untuk membentuk kerajaan.
Najib performanceMenurut keputusan kajiselidik yang dikeluarkan hari ini, 42 peratus bersetuju dengan pilihan “Pakatan Rakyat patut diberi peluang mentadbir negara” berbanding 41 peratus  berpendapat “Hanya BN boleh memerintah negara”.
Bagaimanapun, empat peratus enggan memberi respon manakala 13 peratus menjawab mereka “tidak tahu”, lapor Malaysiakini.
Populariti Najib menurun daripada 64 peratus dalam kajiselidiknya yang dijalankan pada bulan Mac, kepada 61 peratus sekarang – beberapa hari sebelum hari pengundian Ahad ini.
Merdeka Centre berkata angka itu mencerminkan penurunan faktor “feel good” yang sebelum ini dijana ketika pengagihan besar-besaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga bentuk sumbangan wang tunai yang lain.
Kebimbangan terhadap ekonomi mendahului senarai isu-isu yang pengundi mahu diperbincangkan, iaitu pada 25 peratus.
Kerusi marginal tentukan pemenang
Merdeka Center berkata pemenang pilihan raya umum kali ini akan ditentukan oleh pihak yang berjaya memenangi sebahagian besar daripada 46 kerusi marginal parlimen di seluruh negara – semuanya dalam margin 3 peratus undi.
Tiga puluh empat daripada kerusi marginal itu adalah di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing enam kerusi di Sabah dan Sarawak.
Selain daripada kerusi marginal, pusat itu meramalkan bahawa BN akan menang kira-kira 81 kerusi Parlimen manakala Pakatan akan menang kira-kira 89 kerusi.
Kajiselidik itu dijalankan di kalangan 1,600 pengundi berdaftar melalui temubual telefon, dengan 59 peratus responden Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India.

Tiada ulasan: