SPECIAL ADS

3 Mei 2013

Umno Guna Taktik Godam Laman Web


KUALA LUMPUR 3 Mei: Tindakan menggodam laman web pimpinan KEADILAN menunjukkan Umno BN makin terdesak dan tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihan raya umum kali ini, kata Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Beliau berkata, Umno BN terus cuba mengelirukan rakyat dengan menggunakan kaedah  jijik dengan menyebarkan video lucah palsu dan menggodam laman web pimpinan KEADILAN.
“Saya anggap mereka sudah menjangka kekalahan yang bakal diterima dalam PRU. Dalam keadaan terdesak ini, mereka berharap kaedah terakhir iaitu menggodam laman web pimpinan KEADILAN untuk menarik sokongan rakyat,” kata Siti Aishah.
Laman web rasmi presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini digodam pihak tidak bertanggungjawab, dipercayai serangan siber oleh Umno BN.
Laman itu memaparkan kiriman kenyataan Wan Azizah bertajuk ‘Tindakan Undang-undang ke atas bekas Pensyarah Anak Saya” yang merujuk kepada video fitnah terhadap Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.
Beberapa blogger Umno turut menyiarkan rakaman fitnah berkenaan, yang secara jelas bukan merupakan Nurul Izzah.
Sebelum ini, laman web Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli turut menerima nasib sama.
Malah, portal Harakahdaily juga digodam dengan menyebarkan kenyataan palsu  mendakwa video fitnah ke atas pimpinan Pas adalah benar.
“Rakyat perlu bangkit mengutuk cara berpolitik keji seperti ini kerana kaedah ini seolah-olah menunjukkan rakyat begitu bodoh untuk menerima berita palsu seperti ini,” kata calon KEADILAN Parlimen Tambun itu.
Sementara itu, Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yakin penggodam itu adalah blogger Umno BN. Bagaimanapun katanya,  hingga kini tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
“Ini satu bentuk double standard oleh badan berkuasa kepada kumpulan yang gemar memfitnah pihak lain tetapi jika blogger itu dari kalangan Pakatan Rakyat (PR), dengan segera tindakan akan diambil,” ujarnya.
Katanya lagi, taktik keji terbaru Umno BN yang menggunakan khidmat blogger untuk menggodam laman web pimpinan KEADILAN menunjukkan mereka tiada isu yang boleh ditimbulkan bagi menghadapi PRU.
Oleh: Mohd Arif Juhain

Tiada ulasan: