SPECIAL ADS

2 Mei 2013

Kenapa Nazir mahu Najib terus berkuasa?



03 Mei : HAMPIR  dua bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Bank, Dato' Seri Mohd Nazir Tun Abdul Razak mengharapkan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak terus diberi mandat sebagai Perdana Menteri selepas PRU13 nanti. Baru-baru ini, CEO Maybank, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar juga menaruh harapan yang sama.

Harapan Nazir itu tidak menghairankan kerana Najib adalah abangnya. Bagaimanapun, jika mengharap kerana alasan negatif, tentu harapan itu tidak wajar.

Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) mendakwa Nazir dan Wahid bersama CEO Bank Muamalat, Dato' Mohd Redza Shah Abdul Wahid telah lama memeras kakitangan bank serta menganiayai pelanggan bank yang mereka kuasai selain memiliki gaji lumayan.

NUBE mendakwa Nazir memperoleh gaji RM10 juta setahun (RM833,333.33 bulanan, RM192,307.69 mingguan dan RM27,397.26 harian). Wahid pula dikatakan mendapat RM6.26 juta setahun (RM521,666.66 bulanan, RM120,384.62 mingguan dan RM17,150.68 harian), sementara gaji Redza RM3.3 juta setahun (RM275,000 bulanan, RM63,461.53 mingguan dan RM9,041.09 harian).

Mungkinkah Nazir, Wahid dan Redza melakukan “kejahatan” itu kerana tidak dihalang kerajaan pimpinan Najib yang juga Menteri Kewangan?

Para pekerja CIMB Bank, Maybank dan Bank Muamalat yang menganggotai NUBE tidak lagi dapat bersabar. Pada 6 April lalu mereka berpiket di hadapan Menara Maybank dan CIMB Bank, Menara UAB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur mulai jam 2 petang. Mereka berpiket di kedua-dua tempat itu sebelum bersurai pada kira-kira jam 5 petang.

Dalam piket yang dinamakan “Piket Daulat 6413” bersempena ulang tahun pertama pertemuan NUBE dengan Najib pada 6 April 2012, kira-kira 3,000 ahli NUBE (daripada 30,000 ahli seluruh negara) melaungkan slogan anti ketiga-tiga bank itu serta mengemukakan 10 tuntutan.

Pertama, menghentikan pencabulan Rukun Negara yang merangkumi Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan Kedaulatan Undang-undang. Dalam Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, CIMB Bank telah menghina Raja Berperlembagaan kita apabila mengarahkan semua cawangannya tidak  menggantung gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai langkah menjimatkan kos. Tindakan sedemikian tidak pernah berlaku di semua cawangan CIMB di Thailand di mana potret Raja Thai dipaparkan dengan megah.

Dalam Kedaulatan Undang-undang pula, ketiga-tiga bank tersebut gagal menegakkan undang-undang negara ini apabila jelas menyanggahinya seperti mencabul Perjanjian Kolektif bersama NUBE, menggerakkan penubuhan kesatuan sekerja dalaman, mengeksploitasi pekerja dan lain-lain.

Kedua, menghentikan jualan produk secara salah (bank-bank tersebut menjual produk kewangan, terutamanya pinjaman, kad kredit dan lain-lain kepada pelanggan yang TIDAK memerlukan dan TIDAK mampu membelinya. Jualan itu dibuat menerusi wakil jualan bank yang tidak jujur serta membohongi pelanggan).

Ketiga, menghentikan penyahkawalseliaan khidmat perbankan (kebelakangan ini, Bank Negara tidak lagi mengawal selia khidmat perbankan sehingga merugikan pengguna/pelanggan, memperkayakan bank-bank dan memiskinkan pengguna).

Keempat, menghentikan caj yang melampau terhadap pelanggan (dengan menukar perkhidmatan asas kepada sistem berasaskan caj, bank-bank telah mula mengenakan kadar faedah tinggi dan pelbagai bentuk caj bagi produk kewangan, termasuklah caj untuk kemudahan ATM dan urus niaga transaksi, penyata bank, faedah, caj pembiayaan, caj lewat yang haram dan lain-lain).

Kelima, menghentikan diskriminasi pelanggan mengikut kaum (CIMB Bank khususnya, menggunakan status kaum sebagai faktor dalam memberi markah matriks untuk menilai permohonan pinjaman pelanggan. Ini diskriminasi kaum yang wajar ditolak).

Lima tuntutan lagi ialah menghentikan penamatan perkhidmatan pekerja senior (Perjanjian Kolektif memperuntukkan agar bank melanjutkan umur bersara dari 55 ke 57 tahun bagi pekerja yang memohonnya); menghentikan eksploitasi terhadap pekerja (segala aduan ahli NUBE yang seperti tiada kesudahan menjadi bukti permasalahan ini); menghentikan penganiayaan terhadap pekerja hamil (penderaan itu diinstitusikan bank sendiri); menghentikan pengwujudkan pengangguran (selepas Bank Negara melonggarkan kawalan dan mencipta penyahkawalseliaan industri, bank-bank mula aktif menamatkan pekerja dan berhenti mengambil pekerja), dan menghentikan penggalakan ketaksamaan pendapatan (terdapat jurang yang sangat besar di antara gaji ahli NUBE dengan gaji esksekutif dan pengurusan).

Oleh RAYUSA


Tiada ulasan: