KUALA LUMPUR 01 Apr : Gelombang sambutan rakyat di Johor, khususnya kaum cina kepada Pakatan Rakyat merupakan satu suasana yang amat menggalakkan.
Di sebalik pelbagai kecaman rasis seperti satu untuk DAP adalah satu undi untuk PAS dan sebaliknya, hakikatnya politik perkauman sudah jauh ditinggalkan rakyat Johor.
Perkara itu diakui Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berdasarkan gerak kerja kempennya di negeri tersebut sejak sebelum penamaan calon, 20 April lalu.
"Jika dahulu, di majlis-majlis PAS, susah mahu lihat 'crowd' orang cina. Begitu juga di majlis DAP, susah hendak lihat 'crowd' orang Melayu. Tetapi sekarang, semuanya sudah berubah," kata beliau kepada Harakahdaily.
Melihatkan kepada suasana tersebut, Salahuddin yang juga calon parlimen Pulai dan Dun Nusajaya, berkata pihaknya percaya rakyat kini sudah tidak termakan dengan isu perkauman yang sering dimainkan pihak lawan.
Sambil menegaskan isu perkauman itu akan terus dimainkan, khususnya di saat-saat akhir tempoh berkempen ini, Salahuddin mengajak orang ramai untuk melupakan 13 Mei, sebaliknya fokus kepada 5 Mei.
"Mereka (BN) sudah tidak ada isu untuk melawan Pakatan Rakyat. Mereka akan mainkan isu perkauman, lebih-lebih lagi di saat akhir kempen. Mereka kata akan jadi macam tragedi 13 Mei. Saya nasihatkan, kita lupakan 13 Mei, ingat 5 Mei untuk perubahan," tegas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau turut gembira dengan beberapa perubahan ketara di kalangan pengundi Melayu.
Katanya, jika pada 2008, terdapat beberapa kampung Melayu yang tidak boleh dimasuki Pakatan Rakyat, kali ini ia sudah berubah, malah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
"Ia satu perubahan yang baik. Kita harapkan ia akan direalisasikan melalui undi kepada Pakatan Rakyat pada 5 Mei ini," tegas Salahuddin lagi.
Salahuddin, akan menentang Datuk Nur Jazlan Mohamed di parlimen Pulai, manakala berhadapan Profesor Dr. Zaini Abu Bakar di Dun Nusajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan