KOTA BHARU 03 Mei Dua hari sebelum tempoh pengundian, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayangkan beliau sudah mempunyai nama pengganti sebagai Menteri Besar Kelantan, jawatan disandangnya sejak 23 tahun yang lalu.
Mursyidul Am Pas yang berusia 82 tahun itu, bagaimanapun tidak mahu mendedahkan siapa calon pilihannya, selain tidak menyatakan bila tempoh peralihan kuasa itu akan berlaku.
“Dalam parti memang ada timbalan, parti mana-mana pun. Ada naib dan dewan harian, orang inilah kita latih...tapi nama kita tak boleh sebut, memang ada (nama bakal menteri besar),” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Antara nama-nama yang dikatakan menggantikan Nik Aziz adalah timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Spekulasi terbaru turut menyatakan Nik Aziz dikatakan sedang melatih speaker Dun, Datuk Nasuruddin Daud bagi menjawat jawatan itu.
Dalam Pilihan Raya Umum kali ini, Nik Aziz mempertahankan kerusi Dun Chempaka, manakala anaknya, Nik Abduh buat pertama kali bertanding di Pasir Mas menentang calon Bebas, Ibrahim Ali.
Ketika ditanya kriteria yang dikehendaki bagi mengganti beliau, Nik Aziz berkata, “Saya tak suka sebut benda akan datang, suka sebut dasar...dasar...dasar. Akan datang tu nanti akan datang la”.
Nik Aziz berkata, pihaknya kini tidak menekankan soal pengganti, sebaliknya fokus mahu kerajaan Kelantan dipertahankan.
Dalam masa yang sama, Nik Aziz turut mendedahkan, sepanjang karier politiknya, beliau tidak pernah memohon jawatan sama ada parti mahupun kerajaan, namun mengakui pernah sekali meminta dicalonkan bagi meredakan ketegangan dalam Pas.
“Sepanjang umur, saya minta nak jadi calon hanya sekali, saya minta nak jadi calon, bukan menteri besar, masa Allahyarham Bakar Hamzah (pemimpin Pas) ada lagi, saya kata ustaz, tolong usahalah saya nak jadi calon.
“Bila kita bercakap dengan (gelaran) calon ni ada nilai. Ia berlaku sebelum Pas sertai Barisan Nasional (BN), ketika itu kalut, Tun Razak (Hussein) minta kita sertai BN, orang Pas pecah empat, ketika itu saya minta nak jadi calon untuk bercakap sebagai orang yang berhormat, lepas pada tu saya tidak pernah minta untuk jadi calon. tapi dah parti calon, saya terima la,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan