SPECIAL ADS

3 Mei 2013

Kuasa Zalim Tindas Blogger

PETALING JAYA 03 Mei : PKR kesal apabila pengendali blog Milosuam, Yusuf Al Siddique Suratman ditahan pihak polis selepas mendedahkan dokumen, yang didakwa sulit milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung dakwaan wujudnya pencetus huru-hara Ahad ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivarasah Rasiah terkejut apabila artikel tulisan pemblog itu, bertajuk "Maklumat sulit: Pendatang asing bakal cetus huru hara di Sabah?" secara jelas menyebutkan dokumen dalam bentuk e-mel berantai itu masih belum dipastikan kesahihannya menjadi punca utama penahanan itu.

"Milosuam kata dokumen itu tak dapat disahkan. Banyak pihak turut menerima e-mel berantai itu, bukan beliau saja yang dapat.

"Yusuf ada menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel itu supaya membuat pertimbangan wajar kerana ia belum disahkan benar.

"Kita amat terkejut macam mana tulisan itu jadi alasan kukuh untuk tahan seorang blogger yang dikatakan pro-pembangkang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Pada 26 April lalu, dua laporan polis dibuat terhadap blogger yang sama kerana menyiarkan artikel dan gambar mendakwa anggota polis mengundi lebih awal dari tarikh sepatutnya.

Laporan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masing-masing di Balai Polis Jalan Tun Razak dan Putrajaya.

Sivarasa yang juga calon PKR kerusi Parlimen Subang menyifatkan penangkapan dan penahanan blogger itu sebagai bermotifkan kepentingan politik tertentu.

"Pakatan Rakyat (PR) simpulkan isu ini tidak berasaskan dan bermotif politik, blogger itu punyai rating tinggi dan berpengaruh dikatakan penyokong PR.

"Hampir dua bulan polis simpan maklumat ini. Dokumen itu tidak terperinci, kenapa asas kosong digunakan tahan dan tangkap beliau.

"Hari ini permohonan reman akan dibuat dalam percubaan tahan beberapa hari lagi.

"Kalau dokumen itu sahih, kenapa perkara ini tak didedahkan kepada rakyat Malaysia," soalnya.

Tegasnya, penahanan itu dilihat sebagai ugutan kepada kebebasan media dan undang-undang sebegitu katanya perlu dimansuhkan serta-merta.

"Bila kita memerintah Putrajaya nanti, 100 hari pertama kami akan mansuhkan Akta Rahsia Rasmi, ganti dengan Akta Kebebasan Maklumat.

"Kuasa zalim ini digunakan untuk tindas blogger," katanya.

Dalam artikel itu, Milosuam mendakwa seramai 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah akan membuat huru-hara pada Ahad ini.

Beliau turut mengingatkan semua anggota keselamatan dan petugas PRU13 supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana kumpulan itu akan menjadikan mereka sebagai sasaran untuk mencetuskan suasana tegang itu.

Tiada ulasan: