SPECIAL ADS

2 Mei 2013

PR jamin pertahan hak Melayu, Islam

KUALA LUMPUR 03 Mei : Sejak 2008 lagi, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah menandatangani deklarasi untuk mempertahankan perlembagaan Malaysia yang merangkumi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Pada 8 September 2008, pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan, iaitu Datuk Seri Tun Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang telah menandatangani deklarasi mempertahankan Perlembagaan Malaysia itu," tegas beliau ketika mengecam kebanjiran poster-poster dan bannner-banner perkauman yang tidak bertanggungjawab yang membanjiri Kuala Lumpur sejak malam tadi.

"Malah, dalam Konvokesyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009, sekali lagi pemimpin-pemimpin PAS , PKR dan DAP menandatangani Dasar Bersama yang menegaskan bahawa ketiga–tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi Raja Berperlembagaan," tegas Mahfuz lagi.

Beliau yakin, majoriti rakyat yang sudah pun membuat keputusan dan tidak sabar-sabar untuk menolak politik perkauman Umno Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak akan terpedaya dengan politik kotor yang mengapi-apikan perkauman malah tidak akan mempedulikannya.

"Arus kebangkitan rakyat yang bencikan Umno BN yang mahukan perubahan sudah tidak dapat dibendung lagi dan semakin hari semakin bersemangat," kata Mahfuz.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan orang-orang Melayu di bawah pemerintahan Pakatan, beliau menegaskan, bukan setakat mempertahankan perlembagaan sahaja malah PAS juga mempunyai perancangan khas untuk menjadikan Bumiputera lebih berdayamaju dengan langkah-langkah yang berteraskan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

"Beberapa kali kita telah mengisytiharkan untuk menjadikan badan-badan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Haji sebagai badan yang mengendali dana khas untuk kepentingan pendidikan Bumiputera jika Pakatan dapat menguasai Putrajaya.

"Kita mempunyai perancangan bagaimana mengumpulkan dana itu yang akan ditadbir seperti 'sovereign wealth fund' di Norway bagi membantu Bumiputera mencapai taraf pendidikan terbaik," katanya.

Malah, kata Mahfuz, di pihak PKR pula, parti telah pun mengumumkan penubuhan satu pasukan khas yang akan menangani beberapa isu yang berkait rapat dengan orang Melayu - seperti isu FELDA, isu menaiktaraf kemahiran kakitangan awam, isu pengurusan harta Islam dan lain-lain, jika Pakatan dapat menubuhkan kerajaan di peringkat pusat.

Beliau memberi jaminan, dengan keadaan sosio ekonomi kini, nasib orang-orang Melayu lebih terjamin di bawah Pakatan kerana pendekatan yang dinyatakan dalam Manifesto Rakyat yang dikemukan oleh Pakatan adalah berteraskan pendapatan atau 'income-based'.

Lebih dari itu, katanya, kesejahteraan rakyat dalam misi manifesto itu adalah untuk meningkatkan ‘pendapatan dan pendapatan boleh berbelanja' dengan mengurangkan bebanan kos utama saraan hidup dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) serta mengurangkan perbelanjaan rakyat di segi tanggungan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Tiada ulasan: