IPOH 03 Mei : Sehingga kini sudah tiga laporan polis dibuat ke atas bekas Exco Perak, Datuk Hamidah Osman. Yang terbaru kerana merampas peralatan pemasangan banner dari petugas PAS.
Seorang petugas PAS di Batu Gajah membuat laporan polis setelah peralatan yang digunakannya untuk menaikkan bahan kempen telah dirampas oleh Calon BN Dun Sungai Rapat itu.
Razelah Ahmad Bistamam, 30, berkata, kejadian berlaku di Kg Tersusun, Tasek Idaman, Batu Gajah kira-kira 2 pagi tadi ketika beliau bersama 20 orang petugas PAS menaikkan billboard dan bendera.
Katanya, Hamidah ketika itu bersama petugasnya yang turut menaikkan bahan kempen secara tiba-tiba merampas dua batang pengorek lubang (pencebak).
“Dia (Hamidah) tiba-tiba ambil dua batang pencebak ketika kami sedang melakukan kerja menaikkan bahan kempen PAS.
“Kami memohon pihak polis yang berada di situ membantu meminta kembali kepada pihak Hamidah tetapi gagal dan pihak polis menasihatkan agar membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, awal pagi tadi.
Jelas beliau, Hamidah turut memberi teguran kepada beliau dan beberapa rakannya supaya tidak melakukan kerja di pihak PAS.
Dalam perkembangan sama, Naib Yang Dipertua PAS Batu Gajah, Rosdy Abdullah yang ditemui berkata, PAS kesal dengan tindakan tidak profesional bekas Exco Kerajaan Negeri itu,
Jelas beliau, PAS tidak terkejut dengan tindakan Hamidah itu kerana calon BN itu pernah menimbulkan provokasi sebelum ini apabila mencekak kolar calon PKR Parlimen Gopeng beberapa hari lalu.
“Kami kesal dengan tindakan ala samseng Hamidah itu dan ini adalah kali ketiga kami membuat laporan terhadap Hamidah dalam masa berkempen ini.
“Hamidah seolah-olah terdesak apabila sanggup merampas pencebak milik petugas kami, ini dianggap lucu tetapi ianya benar-benar berlaku melibatkan seorang tokoh veteran Umno ini,” jelasnya lagi.
Ujar beliau, Hamidah sebelum itu telah melemparkan kata-kata kesat kepada seorang imam di kampung itu yang berada di situ kerana sering kali mengadakan program PAS di kediamannya.
Rosdy menggesa pihak polis dapat melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan terhadap Hamidah yang dilihat semakin melampau ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan