SPECIAL ADS

1 Mei 2013

PR Penyuluh Masa Depan Rakyat



01 Mei : Yang di atas akan berada pula di bawah. Begitu lumrah kehidupan manusia, tambahan pula jika semasa berada di atas membuar onar, pasti lebih cepat jatuh ke bawah.  Roda kehidupan berputar dan tiada siapa yang boleh sombong dan bongkak di muka bumi ini.

Setelah  55 tahun Malaysia merdeka, hari ini gelombang kesedaran menuntut perubahan politik   muncul dengan gagahnya dan kehadirannya jelas dan berbekas. 



Suasana resah gelisah rakyat untuk mendapat  satu perubahan politik baru yang lebih bermakna  begitu terkesan di segenap pelusok  bandar, pekan dan desa melalui pelbagai kegiatan kepartian dan berita di media alternatif. Rakyat jelak dengan politik menindas dan salah guna kuasa serta rasuah yang berleluasa oleh parti yang memerintah.

Keghairahan rakyat
Ada tanggapan  bahawa sambutan hebat ceramah politik Pakatan Rakyat belum dapat menjanjikan perubahan. Namun kali ini fenomena keghairahan rakyat untuk melakukan perubahan politik  akan menafikan tanggapan itu. Jentera politik Pakatan lebih bersedia, tersusun dan mendapat dokongan rakyat tanpa meminta bayaran atau habuan. Rakyat bersedia berkorban tenaga dan wang ringgit demi Pakatan.

Sungguhpun gelombang perubahan politik di desa itu kurang menyengat,  riak-riak yang menuntutnya semakin nyata dan rakyat di kampung akan bertambah bijak berpolitik jika mereka terus didekati dengan media baru dan pendekatan baru seperti menggunakan treler atau bas untuk berceramah di kawasan-kawasan terpencil dan yang berpotensi berubah.

Golongan muda yang terdedah kepada maklumat menyebabkan  mesej tuntutan perubahan politik sampai kepada mereka. Golongan muda, yang membentuk 40% pengundi baru menjanjikan gelombang perubahan politik yang mungkin akan "mentsunamikan" politik Malaysia tidak berapa lama lagi.
Bermula PRU12, tahun 2008, gelombang perubahan politik itu terus berpusar dan berputar untuk meruntuhkan segala penghalang.  Rakyat mula yakin dan menaruh harapan kepada para pemimpin  Pakatan.
Untuk membentuk satu kerjasama yang padu dan bertolak ansur bagi memberi satu  sistem pemerintahan yang lebih baik, yang sangat-sangat diperlukan rakyat yang selama ini diperbodohkan oleh regim pemerintah. Dasar-dasar Pakatan  yang prorakyat yang berlandaskan ‘Buku Jingga’ dan konsep negara berkebajikan memikat hati dan fikiran rakyat.

Budaya hegemoni
Gelombang perubahan politik baru Malaysia yang melanda negara  tidak dapat dihalang lagi. Sebenarnya, desakan menuntut perubahan itu  mula menjelma  sebelum  2008, cuma pada tahun itu tuntutan kepada perubahan melalui kotak undi bertunas dan berkembang.  Tiada siapa menyangka empat negeri jatuh kepada Pakatan iaitu, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Pilihan raya merupakan sistem yang menjadi medium penting untuk membolehkan  perubahan politik.

Rakyat hari ini dididik untuk memahami  hanya melalui pilihan raya sahaja mereka dapat mengubah sistem politik korup. Pada masa  sama pihak pemerintah (ruling class) juga melihat dan menggunakan sistem pilihan raya ini sebagai medium untuk mengekalkan kuasa.  Di sini, rakyat dan pemerintah melihat sistem pilihan raya sangat penting.  Seorang ahli falsafah dan politikus Itali,  Antonio Gramsci, mengemukakan  konsep ‘hegemoni budaya’ di mana kelas pemerintah  menggunakan pilihan raya sebagai satu  medium atau alat mendapat mandat memerintah secara sah daripada rakyat, yang merupakan golongan terpinggir.

Konsep budaya hegemoni ini dapat menjelaskan bagaimana golongan berkuasa melalui sistem demokrasi, telah memanipulasi  budaya masyarakat yang terdiri daripada rakyat terpinggir dengan  kepercayaan, persepsi, nilai dan norma tertentu supaya  dasar kelas memerintah menjadi satu ideologi  yang dikenakan ke atas rakyat terpinggir sebagai   satu ideologi yang dominan dan sah.

Justeru, selama 55 tahun kelas pemerintah yang dikuasai regim Umno-BN  tidak dicabar ideologinya kerana masyarakat atau rakyat menerimanya sebagai suatu yang sah melalui pilihan raya yang mereka sertai. Maka selama 55 tahun Umno-BN bermaharaja lela melakukan apa sahaja sehingga menyalahgunakan kuasa dan tidak ada yang menyoalnya secara jelas dan berani.

Hanya dengan maklumat yang mudah diakses  rakyat terpinggir maka hegemoni pihak pemerintah ini dapat difahami dan dinilai semula.  Gelombang kebangkitan rakyat berjaya mengetuk dan merobekkan pintu budaya hegemoni yang digunakan regim Umno-BN.  Kekuatan regim mula gogah dan cemas sehingga terpaksa melewatkan tarikh PRU13.

Menipu pilihan raya
UMNO-BN berjaya menggunakan sistem piliha nraya untuk berkuasa  dan meminggirkan rakyat dan akan cuba untuk mengekalkan kuasa politik tersebut. Kuasa politik juga bermakna kuasa ekonomi dan regim Umno-BN melakukan penyalahgunaan kuasa yang semakin menjolok mata dan fikiran.

Pelbagai cara digunakan untuk memastikan sistem pilihan raya akan memihak kepadanya  walaupun menggadai maruah dan keselamatan negara seperti ‘Projek IC Sabah’ yang terbongkar dan sedang disiasat.  Ribuan  warga asing di Sabah diberi kad pengeanalan atau mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia dan mereka dipaksa mengundi kelas pemerintah iaitu Umno-BN.

Modus operadi sama telah dan akan digunakan di negeri-negeri lain bagi memenangkan Umno-BN sebagai kelas pemerintah yang  sah. Rakyat terpinggir yang sedar tentang penipuan ini bangkit menentang. Misalnya, Bersih dengan gabungan 84 NGO mendesak  regim Umno-BN untuk bertarung dalam pilihan raya yang bersih daripada sebarang penipuan.  Rakyat  tidak mahu lagi tertipu. Mereka mahu satu perubahan sistem pilihan raya yang mempunyai semangat demokrasi yang sihat.

Hanya melalui pilihan raya yang bersih rakyat terpinggir dapat membuat pilihan yang betul dan menafikan hegemoni budaya yang memihak kepada Umno-BN, yang mengamalkan pelbagai peringkat rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sudah sebati dengan cara pemerintahannya. Agensi kerajaan seperti Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) diminta menguruskan pilihan raya yang bersih dan bukan menjadi alat regim Umno-BN untuk kekal berkuasa dengan cara menipu pilihan raya.

Sentimen kaum dan agama
Rayat  menolak politik perkauman sempit dan politik agama yang dangkal. Demi mendapat sokongan orang Melayu, Umno akan melakukan apa sahaja walaupun menjejaskan perpaduan kaum. Strategi pilihan raya regim Umno yang kuat bermain dengan sentimen ini  mula disedari rakyat. Umno bukan pejuang agama Islam yang ikhlas.

Hukum hudud bukan sahaja tidak mahu dilaksanakan bahkan dipersendakannya. Rasuah yang ditentang keras Islam menjadi amalan hidup pemimpin Umno. Selain itu, Umno juga mengaku sebuah parti Melayu memperjuangkan nasib orang Melayu. Tidak dinafikan Umno  ada membela nasib orang Melayu tetapi lebih banyak merosakkan orang Melayu. Umno menjadikan orang Melayu sentiasa mengarapkan bantuan kerajaan untuk hidup.

Mereka memperbodohkan orang Melayu dengan propaganda hanya Umno sahaja dapat menyelamatkan orang Melayu daripada asakan bangsa-bangsa lain. Mereka mempermainkan sentimen orang Melayu dengan menanam rasa curiga kepada bangsa-bangsa lain.  Bagaimanapun, merujuk kepada cara hidup dan tindakan pemimpin Umno, rakyat menolak Umno sebagai pembela Melayu.

Mereka menempelak kerakusan Umno yang memangsakan orang Melayu. Misalnya, ribuan hektar Tanah Simpanan Melayu yang dimajukan atau dijual kepada bukan Melayu tanpa digantikan dengan tanah  lain, mengikut Laporan Tahunan  2012, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu, 80% kumpulan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah Melayu, banyak saham Melayu telah terjual  dan 50% tanah di sekitar Wilayah Pembangunan Iskandar yang berjumlah 2,217 km persegi di selatan Johor  dijual kepada warga asing.
Kampung Melayu  di tengah Kuala Lumpur akan dibangunkan dan sebahagiannya akan diberikan kepada bukan Melayu memilikinya. Di Pulau Pinang, terbongkar dengan bukti-bukti kukuh bagaimana pemimpin Umno Pulau Pinang menjadi broker menjual tanah orang Melayu di Balik Pulau.

Lebih menyakitkan hati orang Melayu apabila  mereka bijak bersandiwara dengan mengatakan tanah orang Melayu di Pulau Pinang semakin mengecil kerana orang Melayu dipujuk orang Cina untuk menjualkannya. Hal pemimpin Umno menjadi broker menjual tanah orang Melayu sudah menjadi rahsia terbuka.  Harapkan pagar, pagar makan padi.

Jadi bagaimanakah UMNO membela orang Melayu? Apakah dengan menjadi broker menjual tanah orang Melayu, UMNO memperjuangkan masa depan orang Melayu?  Pasti tidak.  Apa yang nyata, orang Melayu terus dipinggirkan oleh politik regim UMNO-BN yang rakus dan tamak haloba tanpa had itu.

Dengan kata lain, UMNO bukan memperjuangan nasib orang Melayu. Rakyat terpinggir yakin Pakatan Rakyat lebih ikhlas dalam memperjuangkan nasib orang Melayu. PAS dan PKR menjadi harapan besar kepada orang Melayu sekarang. Rakyat mahu Pakatan Rakyat membuat perubahan yang jujur dan mereka yakin Pakatan Rakyat  mampu membawa politik baru yang tidak lagi berasaskan sentimen agama dan perkauman.

Rakyat terpinggir menaruh harapan yang tinggi agar Pakatan akan membawa perubahan yang mereka inginkan. Mereka tidak mahu lagi sikap regim  Umno-BN yang  menggunakan sentimen perkauman dan agama yang sempit untuk memecahbelahkan rakyat. Rakyat terpinggir sedar bukan mudah untuk membina perpaduan antara kaum dan agama dan regim Umno-BN tidak boleh menggunakan isu sensitif ini sebagai bahan kempen mereka.  Rakyat terpinggir melihat bahawa regim UMNO-BN telah ketandusan dasar-dasar pemerintahan yang baik dan maju.

Jadi rakyat terpinggir mendapati regim UMNO-BN tidak lagi mampu memerintah dengan baik.  Mereka hanya bermain dengan sentimen yang bahaya itu hanya untuk mengekalkan kuasa politik mereka tanpa memikir kesan jangka panjang.  Rakyat  mahu satu cara berkempen yang lebih bertanggungjawab.  Budaya samseng menggangu kempen Pakatan Rakyat, budaya menakut-nakutkan pengundi seperti  menakut-nakutkan peneroka FELDA kepada Pakatan Rakyat tidak lagi dapat diterima oleh rakyat terpinggir.

Mereka mahu pemimpin politik yang berani dan berkualiti dapat membahaskan dasar-dasar mereka secara inteletual di dalam perdebatan-perdebatan terbuka.  Rakyat terpinggir melihat pemimpin Pakatan Rakyat lebih jujur dalam hal ini dan mereka patut diberi peluang untuk menerajui Malaysia selepas PRU 13.  Rakyat  melihat regim UMNO-BN telah bankrap idea  dan tidak ada lagi pemimpin mereka yang jujur dan yang boleh dipercayai.
Good Governance’

Pakatan menampilkan diri sebagai satu pakatan politik yang ingin membawa satu cara pemerintahan  berasaskan  ‘good governance’.  Pakatan menjadi wadah baru  memperjuangkan hak rakyat yang terpinggir oleh regim Umno-BN yang telah menipu mereka selama 55 tahun.  Harapan rakyat yang terpinggir ini semakin hari semakin besar.

Rakyat yang terpinggir dan ditipu dengan pelbagai penipuan mengharap Pakatan  dapat membela mereka dengan membawa satu sistem politik yang baru.  Rakyat mengharap Pakatan dapat melakukan satu perubahan yang berani dan  jujur. Rakyat tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sekarang rakyat  dapat melihat bukti-bukti konkrit bagaimana negeri-negeri Pakatan seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan  ditafbir dan diurus dengan baik.

Banyak perubahan dalam hampir 5 tahun memerintah. Pendapatan meningkat. Pelaburan bertambah banyak.  Rasuah dihapuskan, ketirisan pengurusan kewangan diatasi, penjimatan diutamakan, tender terbuka diamalkan dan pengagihan harta awam dibuat dengan baik.  Di Pulau Pinang peruntukan kewangan kepada masyarakat Islam ditingkatkan hampir 300% oleh kerajaan Pakatan berbanding 55 tahun regim UMNO-BN memerintah. Pelbagai bantuan kewangan diberikan kepada umat Islam di Pulau Pinang seperti kepada sekolah agama rakyat.
Maka tuduhan UMNO bahawa DAP sebuah parti anti Islam  nyata  satu tohmahan yang bebal.  Dasar-dasar yang prorakyat ini menjadi satu sumber yang memberi keyakinan kepada rakyat terpinggir bahawa Pakatan Rakyat boleh memerintah dengan lebih baik.

Rakyat terpinggir dapat melihat dan mendapat maklumat bagaimana regim UMNO-BN yang dicabar hebat oleh Pakatan Rakyat masih terus mengamalkan dasar-dasar lama yang dibenci oleh rakyat.

Mereka tidak pedulikan tentang kebijaksanaan rakyat sebaliknya mempersendakannya. Misalnya, gejala rasuah terus meningkat, ketirisan terus diamalkan, pengaliran wang haram telah meningkat dan semua gejala ini tidak mahu disiasat oleh regim UMNO-BN walaupun pelbagai laporan polis dan bukti dikemukakan.Keadaan ini seolah-olah memperlihatkan bahawa regim UMNO-BN tidak dapat lagi mengawal keadaan yang berpenyakit ini.

Tanpa usaha-usaha bersungguh-sungguh  untuk mengatasi penyakit itu, regim UMNO-BN telah memberi wangsegera dalam bentuk pelbagai skim seperti BR1M kepada rakyat terpinggir.  Regim UMNO-BN  melihat dengan memberi wang tunai segera yang beberapa ratus ringgit sahaja kepada rakyat terpinggir, mereka yakin maruah rakyat terpinggir dapat dibeli dan mereka  akan diberi mandat sekali lagi untuk memerintah. Sehingga tergamak pemimpin tertinggi UMNO menyatakan bawa dengan RM500 itu, rakyat boleh makan setahun.

Bagaimanakah pemimpin UMNO ini mengira perbelanjaan rakyat? Sedarkan pemimpin UMNO, bahawa kos hidup telah meningkat beberapa kali ganda?  Pemimpin regim UMNO-BN terus mahu memperbodohkan rakyat. Namun rakyat terpinggir sekarang tidak sama dengan rakyat terpinggir dahulu. Mereka lebih bijaksama dan bermaklumat.  Mereka tidak lagi mahu mengadai maruah dan dirasuah dengan bantuan yang tidak banyak mana itu. Rakyat  tahu bahawa pemimpim regim UMNO-BN mengambil hak mereka lebih banyak daripada itu.

Jika mereka diberi RM500, ada pemimpin regim UMNO-BN mengambil 500 juta dan mungkin lebih daripada itu.  Anak pinak dan kroni mereka menjadi kaya raya sekelip mata. Jadi mereka tidak mahu menjadi  seperti haiwan yang diberi makan  dan kemudian di sembelih. Rakyat bukan haiwan tetapi mentaliti pemimpin regim UMNO-BN itu seperti haiwan.  Rakyat bukan mahu berterima kasih  tetapi bertambah marah kerana maruah mereka mahu cuba dibeli dengan harya yang begitu murah.Tegasnya, regim UMNO-BN mahu rakyat terpinggir membawa mereka turun dari tampok kuasa itu.

Media baru mendedah pembohongan media pemerintah
Dengan adanya teknologi digital, media informasi dan komunikasi menjadi bertambahkompleks dan luas. Media sosial menjadi penghubung yang ‘trendy’ untuk menyebarkan maklumat. Pelbagai kepincangan regim pemerintah  mudah dihidu melalui media digital ini.  Kes lembu NFC dan tanah angkatan tentera meletup dan menjadikan rakyat begitu marah dengan penyelewangan wang rakyat.

Media digital memungkin rakyat yang haus maklumat sebenar atau maklumat tambahan merasa lega dan perkembangan ini menyebabkan mereka lebih bijak dan berani membuat keputusan sendiri.  Mereka tidak lagi merasa terhutang budi kepada pemimpin politik sehingga terpaksa menjualkan maruah mereka. Media alternatif memberi saingan kepada media cetak dan eletronik pihak pemerintah.  Media digital menjadi medium berkesan membawa perubahan politik Malaysia seperti juga di mana-mana tempat yang memerlukan.

Rakyat terpinggir mendapati berita media alternatif lebih terbuka perbincangannya berbanding  media regim Umno-BN.  Media cetak dan media eletronik milik regim Umno-BN lebih banyak menabur fitnah daripada memperkatakan hal sebenar.  Tidak ada pemberitaan seimbang.  Rakyat  mahu media regim berlaku adil dan mempunyai etika kewartawanan yang betul, bukan hanya menabur fitnah.

Rakyat terpinggir sangat marah kepada media-media ini dan darjah kemarahan semakin meningkat apabila media-media ini disaman dan kalah pula di mahkamah. Kekalahan  akhbar Utusan misalnya membuktikan bahawa regim Umno-BN hanya pandai menabur fitnah tetapi gagal memberi sesuatu yang benar.
Regim Umno-BN kaya dengan wang haram dan juga berita palsu.  Rakyat bawahan tidak lagi dapat menerima regim seperti ini untuk memerintah lagi. Cukuplah cukup.  Rakyat tidak mahu anak cucu mereka akan terus sengsara.  Rakyat terpinggir lebih mempercayai Pakatan untuk memerintah selepas PRU13.  Rakyat mengharapkan Pakatan  tidak mengulangi pembohongan regim Umno.  Rakyat  tidak mahu Pakatan mengunakan undang-undang untuk membohongi mereka seperti dilakukan regim Umno-BN melalui media-media mereka.

Wanita dan orang muda penting
Wanita dan golongan muda merupakan golongan terbesar yang mengharapkan perubahan politik. Wanita mahu Pakatan melihat kembali dasar-dasar ekonomi negara agar perbelanjaan yang boros, keuntungan berganda untuk kroni dan pengawalan  harga barang-barang keperluan hidup yang semakin meningkat perlu dikaji semula. Sistem pengurusan kewangan di negeri-negeri Pakatan  cemerlang,  maka  wanita yakin Pakatan  mampu membawa perubahan jika terpilih memerintah negara.

Meningkatkan tangga gaji belum membawa makna jika harya barang keperluan harian terus meningkat.  Kebajikan mereka juga perlu ditingkatkan melalui pelbagai dasar wanita yang lebih progresif dan saksama.  Harapan wanita kepada Pakatan sangat tinggi untuk memartabatkan kehidupan keluarga dan diri. Golongan muda juga melihat Pakatan  menjanjikan satu ruang perkembangan minda yang lebih bebas dan konstruktif.
Mahasiswa dan belia mahu dilayan seperti orang dewasa dan bukan diasuh dengan program propaganda murahan BiroTatanegera. Mahasiswa di universiti mahukan satu sistem demokrasi yang memberi ruang bercakap khususnya tentang dasar yang berkaitan pembinaan negara bangsa. Mereka mahu pendidikan percuma agar mereka tidak menjadi peminjam ribuan ringgit  sebaik keluar  universiti.
Wanita dan golongan muda tonggak yang akan menjayakan misi Pakatan untuk memerintah dan Pakatan Rakyat kerana perubahan politik yang ingin dibawa memperlihatkan dasar-dasar yang positif dan menjanjikan masa depan yang menyakinkan.

‘Ini kalilah’
Pakatan tetap menjadi pilihan rakyat terpinggir.  Regim Umno-BN  gagal memerintah rakyat. Mereka memerintah untuk meperkayakan diri, keluarga dan kroni. Rakyat   mengharap masa depan dan anak cucu mereka  lebih baik dan terjamin melalui undang-undang yang adil. Rakyat  telah lama ditipu dan dipergunakan oleh regim UMNO-BN untuk memperkayakan sanak saudara dan kroni  mereka.

Mereka mahu pemimpin Pakatan  bersih dari segala kekotoran dan niat busuk untuk menggunakan rakyat dan menafikan hak-hak mereka. Rakyat yakin bahawa dasar-dasar Pakatan Rakyat dapat mengimbangi antara keperluan ekonomi, agama dan sosial yang berteraskan kebajikan untuk rakyat. Rakyat mengharapkan sebuah kerajaan yang mendokong teras kebajikan untuk rakyat sebagai agenda utama.

Rakyat terpinggir mahukan pemimpin Pakatan Rakyat berkerja untuk mereka, para pemimpin Pakatan Rakyat bukan lagi bergelar Yang Berhormat tetapi Yang Berkhidmat, berkhidmat untuk rakyat.  Rakyat  mahu pemimpin Pakatan Rakyat mengurus ekonomi negara untuk rakyat dengan pengurusan yang berlandaskan prinsip agama dan berhemah dalam membelanjakan hasil bumi yang kaya itu.

Rakyat mahu pemimpin Pakatan berkerjasama dan saling hormat menghormati berlandaskan Perlembagaan supaya tidak ada lagi permainan sentimen agama dan bangsa dalam menerajui negara.

Rakyat mahukan pemimpin Pakatan mempunyai tempoh tertentu untuk memimpin sebelum rakyat menjadi benci kepadanya kerana jika terlalu lama berkuasa, terdapat kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa. Rakyat terpinggir mahukan sistem pemerintahan dua parti supaya ada ‘check and balance’ dalam membuat dan melaksanakan dasar-dasar untuk rakyat.

Biar kali ini Pakatan yang memerintah dan regim UMNO-BN menjadi pembangkang. Gelombang kesedaran politik yang tinggi pada hari ini menunjukan bahawa Pakatan Rakyat pilihan terbaik untuk menguasai tampuk pemerintahan  di Putrajaya dan seterusnya mengemudi Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan mempunyai rakyat  yang bersatu, sama taraf ekonominya dan terpelihara kebajikannya.

Hanya Pakatan Rakyat menjadi penyuluh masa depan negara  setelah regim Umno-BN gagal selama 55 tahun sebagai pemerintah prihatin dan menjaga rakyat terpinggir. Kata  orang Sabah, ‘ini kalilah’. Maka harapan dan realiti itu akan menjadi nyata. Rakyat akan merehatkan regim Umno-BN pada PRU13, supaya regim ini dapat muhasabahkan diri dan menilai pengkhianatan yang dilakukan kepada rakyat dan bertaubat serta kembali ke pangkal jalan. .

-----
Artikel ini ditulis oleh seorang profesor dari utara tanahair, asalnya untuk terbitan dalam bentuk buku kecil

Tiada ulasan: