SPECIAL ADS

21 Mac 2013

Surat Terbuka Lim Guan Eng Kepada CAP



Encik SM Mohamad Idris,
Pengerusi CAP

Tuan,
Saya merujuk kepada kenyataan tuan baru-baru ini yang menentang projek kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina tiga lebuh raya dan sebuah terowong bawah laut bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Ia melibatkan terowong bawah laut 7km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam di Butterworth, jalan pintas 4.2km dari Pesiaran Gurney ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, jalan pintas 4.6km dari Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam, serta jalan berkembar 12km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.
Kerajaan negeri telah berunding secara terbuka dengan rakyat serta masyarakat sivil sejak projek-projek ini dicadangkan pada tahun 2011 dan juga selama tempoh proses tender terbuka, sehingga ia dianugerahkan pada tahun ini. 

Walaupun kami mengalu-alukan pendapat umum, input atau kritikan hendaklah berdasarkan analisa objektif dan fakta, dan bukan sekadar bersifat berang atau sentimen semata-mata. Bak kata pepatah lama, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,

Kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan berunding dengan NGO serta pihak awam melalui sesi dialog serta sesi town hall di hadapan media massa. Proses ini sangat bersejarah kerana ia tidak pernah dibuat di Malaysia.
Malangnya, tuan tidak pernah menghadiri walau satu pun dialog atau sesi tersebut. Dengan itu, bagaimanakah mungkin tuan boleh menentang projek-projek yang dicadangkan ini secara objektif dan berdasarkan fakta tanpa pernah mendengar penjelasan dari pihak kami? 

Oleh itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk memanjangkan jemputan peribadi kepada tuan untuk menghadiri mesyuarat supaya kami dapat menjelaskan apa-apa keraguan dan kebimbangan yang telah pihak tuan luahkan. Pintu kami senantiasa terbuka kepada pihak tuan.
Bagaimanapun, sekiranya tuan tidak menerima jemputan kami, biarlah kami menyatakan di sini kenapa kritikan tuan mengenai projek-projek untuk mengurangkan kesesakan trafik ini subjektif dan berdasarkan sentimen semata-mata.
Pertama, kami setuju bahawa pengangkutan awam adalah mekanisme yang paling berkesan untuk mencapai objektif "menggerakkan orang dan bukan kenderaan". 

Jadi, kenapakah CAP gagal untuk mengiktiraf usaha-usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pengangkutan terpilih bagi semua 1.6 juta rakyat Pulau Pinang.

Walaupun kerajaan negeri ingin memulihkan sistem trem yang sesuai dengan taraf George Town sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO, kami bersetuju untuk menyokong cadangan monorel yang dijanjikan oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 2007. 

Malangnya, kerajaan Persekutuan memilih untuk bermain politik dan enggan menunaikan janji untuk membina monorel. Akhirnya, rakyat Pulau Pinang yang rugi.
Kemudian, kami telah berfikir di luar kotak dengan menyediakan bas percuma di perkarangan bandar warisan George Town, diikuti pula dengan sistem "park and ride" yang berulang-alik dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan Balik Pulau. 

Penyediaan bas percuma ini menelan belanja RM3 juta setahun. Apabila pendekatan ini disambut dengan baik oleh pihak umum, kami cuba melanjutkan perkhidmatan bas percuma kepada seluruh negeri pada waktu puncak dengan membayar Rapid Penang RM10 juta setahun.
Tawaran RM10 juta ini ditolak oleh kerajaan Persekutuan tanpa memberi apa-apa sebab. Kami juga mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengoperasikan syarikat bas sendiri untuk menyediakan pengangkutan awam tetapi ini juga ditolak oleh kerajaan Persekutuan.

CAP tidak pernah sekali pun menyokong usaha-usaha kerajaan negeri atau mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan untuk menolak bayaran yang ditawarkan oleh kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma.
ULASAN Jelas, kerajaan Persekutuan ingin mencekik Pulau Pinang dengan kesesakan trafik. Akibat kejayaan Pulau Pinang sebagai bandar paling sesuai didiami di Malaysia, jumlah pelancong sudah pun meningkat dengan mendadak. 

Penggunaan Jambatan Pulau Pinang secara purata adalah 80,000 kenderaan setiap hari, dan meningkat kepada 108,000 kenderaan setiap hari pada musim perayaan.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan berjiwa rakyat, kami enggan duduk berdiam, menyalahkan kerajaan Persekutuan dan tidak rela dicekik dengan kesesakan trafik. 

Oleh itu, kami tidak mempunyai pilihan lain selain untuk membina lebuh raya-lebuh raya baru untuk mengurangkan kesesakan trafik di kawasan-kawasan kritikal seperti Paya Terubong, Tanjung Bungah dan kawasan dalaman George Town. 

Untuk menyelerakkan trafik serta untuk mengelakkan cerutan trafik akibat daripada kereta-kereta yang ingin memasuki atau meninggalkan Pulau melalui kedua-dua jambatan, terdapat keperluan untuk laluan penghubung ketiga dari Seberang Perai Utara (SPU).
Kerajaan negeri tidak boleh membina jambatan ke Seberang Perai kerana kelulusan Persekutuan diperlukan. Bagaimanapun, tiada kelulusan diperlukan untuk terowong bawah dasar laut.
Tambahan pula, persoalan kesaksamaan juga harus diberi perhatian dan ia adalah adil supaya penduduk SPU tidak dinafikan laluan penghubung ketiga, apabila Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan sudah diberi dua jambatan. 

Laluan penghubung ketiga juga akan memastikan pembangunan yang seimbang supaya SPU tidak ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan negeri juga bimbang tentang impak kepada alam sekitar dan juga terhadap punca pencarian nelayan kerana kami komited untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau.

Kebimbangan ini sudah pun ditangani dengan mewajibkan pematuhan Penilaian Impak Alam Sekitar Penuh (DEIA). Sekiranya syarat-syarat DEIA tidak dapat dipatuhi, maka projek-projek tersebut tidak akan diteruskan. 

Berbeza dengan projek-projek kerajaan Persekutuan, perunding yang akan menyediakan laporan DEIA akan dilantik oleh kerajaan negeri dan bukan oleh kontraktor.
Operasi Pelabuhan Pulau Pinang juga tidak akan terjejas kerana terowong akan dibina secara selamat di bawah dasar laut. 

Ramai pakar telah memberi pendapat bahawa terowong bawah dasar laut mempunyai impak yang lebih kurang berbanding jambatan.
CAP harus sedar bahawa tender telah dianugerahkan melalui proses tender terbuka kompetitif yang dimulakan pada tahun 2011. Daripada kos anggaran awal RM8 bilion, keajaiban tender terbuka telah mengurangkannya kepada RM6.3 bilion. 

Tidak sepertimana yang didakwa BN, modal berbayar keempat-empat syarikat yang memenangi tender tersebut sebagai konsortium adalah RM4.5 bilion dan bukan RM2. Tambahan pula, keempat-empat syarikat tersebut akan menandatangani perjanjian secara asing dengan kerajaan negeri.
Kenyataan CAP yang menyaran agar kami tidak menggunakan tanah tebus guna 110 ekar di Tanjung Pinang untuk membiayai projek RM6.3 bilion ini menimbulkan persoalan kenapa CAP tidak mengkritik BN kerana menjual tanah tebus guna tersebut pada harga RM1 sekaki persegi pada tahun 1999? 


Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa penilaian dan cadangan pemenang tender dibuat oleh dua jawatankuasa yang diterajui Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Farizan Darus serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mokhtar Mohd Jait tanpa penglibatan ketua menteri. Seluruh proses tender dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Tempoh konsesi tol 30 tahun diberi hanya untuk terowong dan tidak untuk tiga projek lebuh raya lain yang akan bebas tol. Konsesi tol ini unik kerana untuk kali pertama di Malaysia tiada jaminan jumlah trafik yang diberi kepada syarikat-syarikat tersebut.
Kerajaan negeri bersetuju untuk tempoh tol 30 tahun kerana kami tidak ingin berperang dengan kerajaan Persekutuan dengan tidak mengenakan caj tol. 

Ini kerana kerajaan Persekutuan akan mempunyai dasar undang-undang untuk menghentikan projek terowong dengan dakwaan bahawa kami sengaja mensabotaj kutipan tol Jambatan Kedua. 

Inilah sebabnya mengapa kerajaan negeri menetapkan kadar tol terowong pada kadar yang sama dengan Jambatan Kedua.
Sekali lagi, jika CAP menentang tempoh konsesi tol 30 tahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, mengapakah CAP tidak menentang apabila konsesi tol Jambatan Kedua ditetapkan pada tempoh yang lebih lama iaitu 45 tahun?
Tindakan CAP mempersoalkan kepakaran dan keupayaan teknikal syarikat- yang terbabit adalah ekspresi sentimen yang subjektif dan tidak menghiraukan hakikat bahawa Beijing Urban Construction Group dan China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) merupakan syarikat-syarikat pembinaan utama yang membina Stadium Olimpik Beijing "Sarang Burung".

Ini termasuk kebanyakan landasan kereta api di China dan landasan tertinggi ke Tibet. 

Sementara tiada sesiapa yang menjaminkan bahawa kemalangan tidak akan berlaku, namun jika itulah kriteria yang diikuti maka adakah kita akan menghentikan pembinaan jalan raya dan kapal terbang kerana kemalangan?
Malahan, Pelan Induk Pengangkutan Awam (PTM) mencadangkan pembinaan terowong bawah dasar laut. Bezanya cuma ia mencadangkan persiapan terowong menjelang 2025-2030 sementara kerajaan negeri ingin membawanya lebih awal kepada 2023-25. 

Tempoh 10-12 tahun untuk pembinaan laluan penghubung ketiga diperlukan untuk memastikan pematuhan semua keperluan keselamatan dan kebolehlaksanaan termasuk keselamatan alam sekitar.
Oleh kerana tempoh persiapan projek adalah 10-12 tahun, kerja perancangan harus bermula sekarang. 

Gambaran yang diberi oleh sesetengah pihak bahawa kerja akan bermula serta-merta dan terowong akan disiapkan dalam masa beberapa tahun adalah tidak benar sama sekali. 

Sepertimana Jambatan Kedua Pulau Pinang sepatutnya dibina 10 tahun lalu akibat peningkatan trafik, kami harus merancang bukan sahaja untuk generasi ini tetapi untuk generasi akan datang.
Kita tidak patut mewariskan kesesakan trafik kepada generasi akan datang supaya mereka tidak mengalami penderitaan akibat kegagalan untuk membuat perancangan masa depan. 

Mungkin kita tidak akan bermanfaat daripada projek-projek ini tetapi anak-anak dan cucu-cicit kita akan dapat menikmati manfaatnya. Inilah tanggungjawab kita - untuk menyediakan masa depan untuk generasi muda.

LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang. Surat terbuka ini ditujukan kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan badan-badan lain yang menentang projek tiga lebuhraya dan terowong bawah laut untuk mengurangkan kesesakan trafik. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi.

Tiada ulasan: