KUALA LUMPUR 31 Mac : Pakatan Rakyat hari ini melancarkan Majlis Pendidikan Negara (Mapen) sebagai satu badan yang bakal membentuk model baru sistem pendidikan negara apabila Pakatan Rakyat mengambilalih kerajaan.
Mapen yang dianggotai golongan ilmuan seperti pendidik, profesor, dan pensyarah itu akan bergabung tenaga untuk sama-sama merombak atau menambahbaikkan sistem negara sedia ada.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata sistem pendidikan negara kini begitu bercelaru dan terabai hingga tidak menekankan kepentingan manusiawi.
"Sistem pendidikan ini jika disusun atur tidak mengikut manusiawi, sesebuah tamadun itu tidak dapat berkembang dengan sebaik-baiknya. Kami di Pakatan Rakyat menekankan sistem pendidikan yang berteraskan kerohanian dan intelektual dalam masyarakat," tegas beliau pada sidang media, selepas pelancaran Mapen, di Kelab Sultan Sulaiman, petang tadi.
Menegaskan Mapen ini tepat pada masanya kerana menuntut kewajipan memandangkan pendidikan merupakan proses kembali kepada tamadun pembangunan manusia, Abu Bakar turut berharap badan ini mampu memberi keyakinan kepada masyarakat untuk bersama menggerak perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat berhasrat untuk membentuk asas baru berteraskan sistem nilai yang selama ini diabaikan.
Beliau yang turut memeriahkan majlis pelancaran itu, turut melahirkan kekesalan diatas kegagalan kerajaan hari ini berhubung isu bahasa Melayu yang menjadi polemik saban waktu.
"Isu bahasa Melayu masih tidak diselesaikan. Bagi kami di Pakatan Rakyat, di samping kita mengangkat bahasa Inggeris, keperluan bahasa Melayu perlu diperkasakan tanpa tolak ansur," kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 200 orang.
Mapen dipengerusikan pensyarah dari Unisel, Profesor Zainal Abidin Kidam.
Selain Anwar, antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw yang mewakili DAP, dan Pengerusi NGO Pendidik, Cikgu Normala Sudirman. Hadir sama, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan