KUALA LUMPUR 28 MAC: Umno BN dicabar berpolitik secara matang dan waras serta menghentikan fitnah lucah untuk mengaib dan menjatuhkan lawan politik dari Pakatan Rakyat bagi memenangi pilihan raya, kata Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Cabaran itu susulan pendedahan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tentang penyebaran video seks fitnah melibatkan pimpinan KEADILAN termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bakal menyusul, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Pastinya perkhabaran itu mengecewakan rakyat yang teruja untuk menyaksikan proses pilihan raya berasaskan politik nilai serta matang. Sejak dulu lagi politik lucah seolah-olah dibenarkan kerajaan,” kata Aishah kepada Keadilan Daily.
Menurut Aishah, politik lucah bagaikan penanda aras untuk pemimpin Umno menyerang peribadi pimpinan Pakatan Rakyat semata-mata mahu memenangi pilihan raya.
“Perlu ada ketegasan dari semua parti yang bertanding bahawa mereka menolak politik jijik dan fitnah. Umno sendiri mengapa tiada kenyataan menolak budaya lucah seperti itu. Ini kerana mereka merestuinya,” kata beliau.
Aishah menambah, polis perlu bertindak bagi membanteras gejala politik lucah yang semakin menular menjadi budaya pemimpin Umno BN.
“Sekiranya video palsu itu disebar, kita desak polis siasat segera siapa dalangnya, jangan bersikap tidak adil dan sekadar menutup mata,” katanya.
“Kita cabar Umno, masuk gelanggang pilihan raya dengan politik nilai, waras serta melalui perdebatan,” tegas Aishah. – NS
Oleh: Oleh Aisha Geoffrey
Tiada ulasan:
Catat Ulasan