SHAH ALAM 26 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau dalang video NGO antarabangsa Global Witness yang mendedahkan rasuah lesen balak Taib dan keluarganya.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang mendakwa menjadi mangsa fitnah akhir-akhir ini kerana semua tokoh-tokoh berkuasa yang mengambil tanah, saham dan balak berpakat menggunakan media bagi menyerang beliau.
“Ini ‘standard’, semua masalah di Malaysia termasuk kekalahan Manchester United kepada Real Madrid juga salah saya kerana pengadilnya Turki,” sindirnya ketika diwawancara stesen Radio Free Malaysia (RFM) malam semalam.
Katanya, Taib perlu menjawab kebenaran di sebalik penyebaran video itu dan bukannya menggunakan media bagi menyerang beliau.
“Saya tidak terlibat, tetapi isunya bukan siapa yang terlibat (penyebaran video), liputan Global Witness itu ada kebenaran dan apakah mampu Tan Sri Taib atau Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak jawab,” katanya yang merupakan Ketua Umum PKR.
Baru-baru ini, Taib menuduh Anwar menjadi dalang kepada penyebaran video itu dan mendakwa Anwar tidak layak mentadbir negara kerana seringkali membawa pihak luar untuk campur tangan dalam perjalanan politik di negara ini.
Umno-BN turut menuduh Anwar sebagai agen Yahudi, US, Turki, India dan turut dikaitkan sebagai agen Sulu ketika peristiwa berdarah di Lahad Datu.
Di samping itu, Anwar menegaskan siasatan segera perlu dilakukan terhadap Taib dan keluarganya berikutan penyebaran video berkenaan.
“Apakah tidak benar, tanah dirampas, apakah tidak benar, beberapa tokoh besar termasuk keluarga menjadi maha kaya menggunakan kuasa, mengkhianati amanah.
“Ini soalan yang mesti dijawab, kalau benar bilion-bilion ringgit dan mana wang itu, siapa yang beri mandat kepada pemimpin negara mengambil tanah rakyat, tanah negeri menjadi hak milik keluarga mereka,” katanya.
Dalam pada itu, RFM merupakan usahasama stesen radio gelombang pendek Radio Free Sarawak (RFS) di frekuensi MW 1,359 kHz memulakan siarannya malam tadi dengan menyiarkan wawancara bersama Anwar dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan