KUALA LUMPUR 29 Mac : Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membubarkan parlimen sehingga Dun Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya amat memalukan serta menghina rakyat di negeri itu.
“Rakyat negeri tersebut pasti merasa kecewa apabila tidak diberikan hak untuk memilih kerajaan baharu apabila tamat tempohnya, sebaliknya dibiarkan berlalu berhari-hari diperintah oleh kerajaan sementara,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.
Justeru, ujarnya bagi membalas jasa PM yang telah mencatatkan sejarah baharu Negeri Sembilan, rakyat di negeri itu perlu menolak BN dan kepimpinan Najib.
Beliau berkata, ia sebagai pengajaran paling berharga agar PM menghormati keputusan rakyat memilih kerajaan yang sah.
Ia juga, katanya sebagai mesej penting supaya mana-mana PM tidak mengulangi tindakan seperti itu di masa-masa yang akan datang.
Baginya, rakyat serta pengundi di Negeri Sembilan perlu ‘berterima kasih’ kepada kerajaan Persekutuan (kerajaan BN) kerana membiarkan kerajaan negeri tersebut terbubar dengan sendirinya dan dipimpin oleh kerajaan sementera.
Beliau menjelaskan, kerajaan sementara adalah kerajaan yang memimpin sesebuah negeri atau negara tanpa kerajaan tersebut boleh meluluskan perkara besar terutama berkaitan perkara dasar mengenai negeri tersebut sehingga mandat baharu diperolehi melalui pilihan raya.
Tambah beliau, kerajaan sementara Negeri Sembilan hanya boleh mengurus tadbir rutin jadual perjalanan negeri tersebut dan meneruskan dasar-dasar yang telah diluluskan sebelum ianya terbubar secara automatik pada 27 Mac lalu.
Dalam erti kata yang lain, jelasnya kerajaan Negeri Sembilan berjalan tanpa mandat dari rakyat kerana mandat rakyat sudah cukup tempoh 5 tahun dan mandat baru perlu diperbaharui dalam Pilihan raya Umum ke-13.
Beliau menambah, belum pernah terjadi kerajaan pusat membiarkan kerajaan negeri terbubar dengan sendiri tanpa pilihan raya umum diadakan.
Ini, kata beliau merupakan kejadian yang pertama di negara ini, di mana ia sedang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, kini sejarah telah tertulis negara bertahan melepasi tempoh masanya manakala Negeri Sembilan menjadi negeri pertama terbubar sceara automatik.
“Negeri Sembilan menjadi bahan ‘eksperimen’ untuk menguji apakah bentuk kerajaan sementera yang dimaksudkan oleh banyak pihak.
“Eksperimen ini dapat dilihat pada hasilnya apabila Menteri Besar Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kuasa eksekutif serta tidak mampu meluluskan sesuatu keputusan besar, sebaliknya hanya meneruskan kerja-kerja yang ditinggalkan oleh legasi kerajaannya dahulu,” ujarnya.
Riduan menambah, jika parlimen masih juga belum dibubarkan pada awal April, banyak negeri lain akan menyusul untuk ‘diuji kaji’ dengan Pahang menjadi negeri kedua terbubar secara automatik pada 8 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan