SPECIAL ADS

30 Mac 2013

Pilihan Raya atau 'Paksa Raya'


30 Mac : Dengan tempoh pembubaran automatik Parlimen Malaysia hanya berbaki kurang lebih sebulan lagi, rata-rata rakyat Malaysia dilihat semakin ‘galak' bercakap tentang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang akan dipanggil pada bila-bila masa. 

Dari lobi parlimen, pejabat kerajaan, kampus universiti, sekolah sehinggalah ke warung kopi, dari Perlis sehinggalah ke Sabah, topik perbualan utama rakyat jelata mutakhir ini lebih menjurus kepada ‘cakap-cakap PRU13'. 

Apa jua isu, tragedi dan kejadian yang berlaku dalam negara ketika ini akan diolah, dianalisa dan dikomen oleh pelbagai pihak berdasarkan aspirasi politik masing-masing untuk mendapatkan laba politik sebagai persediaan menghadapi PRU. 

Tidak kurang juga para penganalisis politik, sama ada yang bertauliah di universiti atau yang ‘tak bertauliah' di warung-warung kopi yang tidak melepaskan peluang memberikan komentar dan pandangan tentang tarikh PRU13 dan trend pengundian berdasarkan hasil kajian dan kecenderungan politik masing-masing. 

Entah kenapa kedatangan PRU begitu mengujakan. Manakan tidak, kesempatan untuk menunaikan hak mengundi ini hanya datang sekali setiap lima tahun. Sudah pasti ia amat dinanti-nantikan oleh rakyat jelata terutamanya pengundi-pengundi baru.
Menurut statistik terkini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRU13 adalah seramai 13.1 juta orang dengan 2.9 juta daripadanya pengundi baru.
Pastinya, apa jua pilihan yang dibuat oleh 13.1 juta pengundi berdaftar ini akan memberi kesan kepada keseluruhan 28 juta rakyat Malaysia.
Meskipun tarikh pembubaran parlimen masih menjadi teka-teki, bendera-bendera parti politik yang bakal bertanding sudah sedia terpasang di pokok dan jalan di seluruh pelosok negara.

Media cetak dan elektronik tidak terlepas peluang menghiasi muka-muka hadapan dan berita utama mereka dengan berita politik dan pilihan raya. 

PRU umpama pesta dan perayaan besar yang bakal disambut oleh semua rakyat Malaysia khususnya dalam menunaikan hak politik sebagai rakyat Malaysia sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan. 

Perkara 119 Perlembagaan Malaysia memperuntukkan syarat-syarat menjadi pengundi sekaligus memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan hak memilih pemimpin. 

Perlembagaan tidak menyebut parti atau pihak mana yang perlu dipilih. Justeru, siapa atau pihak mana jua yang dipilih oleh rakyat Malaysia sebagai pemimpin adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan. 

Sesungguhnya hak dan kebebasan memilih pemimpin ini adalah suatu cabang daripada hak asasi manusia yang perlu dihormati dan dilindungi. 

Namun, sejauh mana kebebasan rakyat memilih pemimpin adalah suatu yang memerlukan perbahasan lanjut kerana ia berkait dengan mentaliti dan trend pilihan raya negara. 

Sebagai contoh, di Malaysia, terdapat kecenderungan untuk menyamakan parti politik dan kerajaan atau negara hanya kerana parti politik itu menguasai kerajaan di dalam PRU sebelumnya. 

Ia menyebabkan mentaliti rakyat menganggap pertembungan di dalam pilihan raya antara kerajaan dan pembangkang, bukannya parti politik melawan parti politik.
Untuk memahami dengan lebih jelas, saya ingin ambil contoh suasana di peringkat DUN Selangor dan Parlimen di peringkat Persekutuan memandangkan pemimpin di kedua-kedua peringkat kerajaan tersebut diwakili oleh gabungan parti politik yang berbeza. 

Di Selangor, perlu difahami bahawa Pakatan adalah parti politik dan Selangor adalah negeri.
Meskipun pemimpin Pakatan dipilih oleh rakyat Selangor untuk menjadi peneraju kerajaan negeri dalam pilihan raya yang lalu, menjatuhkan Pakatan dalam pilihan tidak bererti menjatuhkan negeri Selangor, menghuru-harakan atau mengancam keselamatan negeri.

Pihak yang menentang Pakatan dalam pilihan raya adalah musuh politiknya sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai musuh negeri Selangor. 

Musuh Pakatan dan musuh Selangor dua perkara berbeza. Maka, menumbangkan Pakatan dan meruntuhkan negeri Selangor juga dua perkara berbeza.
Begitu juga dengan BN. BN adalah parti politik dan Malaysia adalah negara. Keduanya entiti berbeza walau saling berkaitan. Meskipun pemimpin utama BN juga pemimpin utama Malaysia, usaha menumbangkan mereka tidak boleh dianggap sebagai usaha menjatuhkan atau menghuru-harakan Malaysia. 

Pihak yang menentang BN tidak boleh dilabel musuh negara kerana mereka hanya musuh politik BN. Bahkan persaingan politik termasuk menentang BN melalui pilihan raya ini dibenarkan oleh undang-undang. 

Ini kerana mengadakan pilihanraya adalah sebahagian daripada syarat asas sesebuah negara demokrasi. Jika menentang BN suatu yang mengancam dan membawa malapetaka kepada negara, sudah pasti PRU akan diharamkan. 

Bukankah PRU itu membuka ruang untuk BN ditentang?
Apabila pilihan raya berlangsung, pertandingan ialah antara parti politik melawan parti politik bukannya kerajaan melawan pembangkang.

Ini kerana, setelah Parlimen dan DUN dibubarkan, tempoh mandat untuk kerajaan sedia ada telah tamat dan tiada pihak yang sepatutnya mendakwa diri mereka sebagai kerajaan sehinggalah keputusan pilihan raya berikutnya diumumkan. 

Apabila DUN dan Parlimen dibubarkan, dengan sendirinya status ADUN dan ahli Parlimen akan luput sekali gus jawatan menteri besar dan perdana menteri yang disandang. 

Dalam tempoh tersebut, suatu entiti berkecuali yang di sesetengah negara dipanggil kerajaan sementara atau caretaker government'seharusnya diwujudkan untuk menguruskan pentadbiran negara. 

Justeru, semasa tempoh berkempen seharusnya tiada pihak yang menggunakan kelebihan atau kemudahan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan sama ada dalam bentuk jawatan, kewangan, agensi dan sebagainya untuk kepentingan parti politik masing-masing.

Sama ada menteri besar Selangor atau perdana menteri Malaysia, kedua-duanya tidak boleh lagi menggunakan kelebihan jawatan tersebut sebagaimana sebelumnya untuk berkempen sebaik sahaja DUN Selangor dan Parlimen Malaysia dibubarkan. 

Ia tidak adil kepada pihak yang tidak mempunyai kelebihan tersebut bahkan bercanggah dengan asas demokrasi yang menitikberatkan pertandingan pilihan raya berteraskan prinsip 'padang sama rata'. Hakikatnya, pilihan raya adalah medan untuk rakyat jelata membuat pilihan siapa yang mahu dipilih untuk berkhidmat kepada mereka untuk tempoh lima tahun mendatang. 

Rakyat membayar pelbagai bentuk cukai - seperti cukai tanah, cukai pintu, cukai pendapatan, cukai jalan, duti import dan duti eksport - yang sebahagian kutipan itu digunakan untuk membayar gaji pemimpin untuk melaksanakan program pembangunan dan infrastruktur kemudahan semua rakyat. 

Tempoh lima tahun adalah tempoh untuk rakyat membuat penilaian sejauh mana janji dan manifesto yang dibuat semasa pilihan raya ditepati. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin sedia ada, undang-undang memberi hak dan kebebasan kepada rakyat melalui pilihan raya untuk memilih mana-mana pemimpin lain yang mereka sukai. 

Usaha mengubah pemimpin sedia ada, sama ada kepimpinan kerajaan Selangor mahupun kerajaan persekutuan usaha yang dibenarkan undang-undang. 

Tuntasnya, setiap rakyat perlu diberi kebebasan yang mutlak untuk menentukan sendiri pemimpin pilihan mereka bersesuaian dengan falsafah pilihan raya itu sendiri. Namun, jika ada unsur paksaan, intimidasi, ancaman, ugutan dan tekanan - sehingga menyebabkan kebebasan memilih itu dinafikan, barangkali perkataan pilihan raya perlu ditukar kepada ‘paksaraya'.

Tiada ulasan: