SHAH ALAM 31 Mac : "Dia (Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) layak jadi Menteri Besar Selangor."
Demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab spekulasi bahawa Wan Azizah mungkin bertanding di kerusi Dun dan disebut-sebut bakal dicalonkan di sebuah kerusi di Selangor.
Malah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga dijangka dilantik sebagai menteri besar jika pakatan pembangkang berjaya mengekalkan kuasa mereka di negeri ini.
Bagaimanapun untuk menjadi calon (menteri besar) di negeri ini, antara perkara yang penting dan perlu ialah kad pengenalan beliau mesti bermastautin di Selangor," katanya selepas Majlis Rapat Mesra Kinabalu Warga Sabah Lembah Klang di sini, semalam.
Menurutnya, pemilihan sebagai menteri besar akan ditentukan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor memberi kuasa kepada Sultan untuk memilih pemimpin yang mempunyai kepercayaan untuk mentadbir negeri.
“Dalam enakmen ada tetapi tidak boleh timbulkan spekulasi itu sekarang. Selepas pilihan raya Sultan Sharafuddin menerima menghadap wakil-wakil yang memenangi jumlah kerusi terbesar dalam Dun.
"Itu yang akan berlaku, jadi kita tidak boleh timbulkan spekulasi itu sekarang kerana tidak mahu dikaitkan dengan istana. Itu sebab saya tidak mahu jawab (soalan) nanti orang katakan dan kaitkan dengan istana. Perkara ini sangat sensitif. Buatlah pilihan raya dulu,” katanya.
Abdul Khalid berkata, perkara tersebut tidak perlu menjadi spekulasi kerana masih dalam proses perbincangan di peringkat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) dan belum satu keputusan muktamad mengenainya.
“Pengumuman itu akan dilakukan (tidak lama lagi). Oleh sebab itu kita benarkan perbincangan perkara ini dan spekulasi ini akan berakhir. Dalam masa dua minggu ini akan ada pengumuman yang akan berlaku di negeri Selangor," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Khalid melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan kepimpinan PR dari Sabah terutama Datuk Panglima Lajim Ukin bersama rakyat Sabah mengadakan lawatan mesra di Selangor.
Beliau berkata, usaha tersebut memberikan rangsangan kepada pemimpin PR untuk terus berkempen kepada rakyat Selangor dan Sabah bahawa perubahan pentadbiran politik Putrajaya mesti dilaksanakan.
“Majlis ini adalah satu usaha untuk memperkenalkan aktiviti mereka dalam bentuk rapat mesra supaya bukan sahaja masyarakat Sabah tahu usaha yang dilakukan tetapi rakyat Selangor tahu bagaimana rakyat Sabah ingin mengadakan kerjasama mesra antara rakyat Sabah dan Selangor.
“Tujuannya sudah tentulah jelas tujuan politik yang mana rakyat Sabah merasakan kejayaan pemerintahan PR Selangor patut dicontohi supaya dapat dilaksanakan di Sabah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan