PETALING JAYA 27 MAC: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan 4,637 daftar pemilih yang pincang dan diragui di Parlimennya.
Permohonan itu dibuat semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguamnya, Edmund Bon.
Dalam permohonan itu, empat pihak dinamakan sebagai responden.
Mereka adalah Ketua Pendaftar Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan Malaysia.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, permohonan tersebut kerana SPR melalui Ketua Pendaftar Pilihan Raya gagal dan enggan melaksanakan kuasanya di bawah Peraturan 25(2)(g) yang membolehkan beliau membatalkan nama-nama daripada Rang Daftar Pemilih Induk sekiranya tidak layak untuk dikekalkan.
Kegagalan SPR bagi membersihkan nama daftar pemilih itu dikategorikan kepada tiga kesalahan.
Ia melibatkan nama pengundi yang meninggal dunia masih terdapat dalam senarai daftar pemilih, jumlah pengundi yang ramai dengan alamat tidak lengkap serta nama pengundi yang tidak tinggal di Parlimen Lembah Pantai.
Edmund yang hadir pada sidang media bersama Nurul Izzah di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini memberitahu, terdapat kepincangan yang jelas dalam daftar pemilih Lembah Pantai.
“Terdapat 4,637 pengundi dengan alamat tidak lengkap, 133 pengundi bukan penduduk Lembah Pantai, dan tiga pengundi yang meninggal dunia semuanya berjumlah 4,773 nama-nama yang diragui, atau tujuh peratus daripada 71,000 pengundi didaftarkan sebagai pemilih Lembah Pantai yang diwartakan pada suku ketiga 2012.
“Di bawah Seksyen 25 (2) (g) Pilihan Raya (Peraturan Pemilih) 2002, Ketua Pendaftar boleh membuat perubahan kepada daftar pemilih. Jadi bagaimana Ketua Pendaftar boleh membenarkan orang-orang ini,” katanya.
Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen kedua yang memohon kebenaran semakan kehakiman selepas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Bagaimanapun, semakan itu ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan memberi alasan mahkamah terikat dengan Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 yang menyebut daftar pemilih yang sudah diwartakan tidak boleh disemak kembali.
Selain itu, mahkamah juga tidak boleh memaksa SPR untuk memberikan respon kepada perkara yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen, kerana tiada peruntukan yang membenarkannya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menjangkakan 2,000 tambahan pengundi akan didaftarkan dalam daftar pemilih Lembah Pantai bagi suku keempat 2012, menjadikannya 73,000 pengundi.
“Pada 2008, kami mempunyai pengundi didaftarkan 56,000, tapi kini 71,000 dan menjangkakanpenambahan 2,000 menjadikannya 73,000 pengundi,” katanya. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan