MARANG 24 Mac - Amanat Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu bahawa 'lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali’ adalah satu sindiran tajam supaya rakyat tidak lagi menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Demikian kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menurutnya, walaupun ada yang berhujah bahawa perkataan ‘devil’ dan ‘angel’ dalam ungkapan asal Tun Mahathir, ia adalah satu metafora atau kiasan semata.
“Tetapi ia tidak menafikan hakikat bahawa Tun Mahathir sendiri telah membuat dua cabang kelas bahawa Umno-BN berada di pihak yang ‘buruk dan rosak’ manakala Pakatan Rakyat (PR) berada di pihak yang ‘baik’,” katanya.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan Tun Mahathir adalah tokoh besar Umno selaku bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, malah yang paling lama memegang jawatan dalam parti dan kerajaan.
Namun, katanya, Tun Mahathir telah mendedahkan beberapa kali, dalam ayat dan perkataannya sendiri, bahawa Umno adalah parti berpenyakit kronik, mungkin tidak dapat diubati kerana sudah melarat ke dalam usus.
“Sebagai seorang ahli perubatan yang tahu bagaimana parahnya sesuatu penyakit itu, sehingga beliau memberi gambaran penyakit kronik yang melarat ke dalam usus, atau dalam kata lain, ia tidak mampu diberi rawatan.
“Penyakit politik wang (rasuah) menjalar dalam pemilihan Umno daripada akar umbi sehingga ke hujung pucuk, tidak lagi menjadi rahsia kepada umum,” katanya.
Menurutnya, penyakit itu juga dimasukkan ke dalam gelanggang rakyat dalam setiap kali pilihan raya umum dan kecil serta membahayakan seluruh jentera kerajaan.
“Betapa parahnya penyakit itu sehingga ia terpaksa diselamatkan dengan Amanat Tun Mahathir yang begitu jelas ucapan dan ungkapannya, Kalau mahu hidup mati bersama Umno juga, maka begitulah konsepnya.
“Amanat Tun Mahathir adalah sindiran tajam supaya ahli Umno dan penyokongnya serta parti komponen yang bersekongkol dengannya secara nyata dan bersembunyi.
“Beliau sendiri sudah dua kali keluar masuk Umno, secara sifat kemanusiaan yang wajib merawat pesakit walau pun tidak ada harapan sembuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, Presiden Pas turut meminta kepada rakan taulan dalam Umno-BN agar tinggalkan Umno dan BN bersama syaitan yang dikenali atau tidak dikenali dan menjadikan Pas sebagai ganti Umno serta Pakatan Rakyat ganti BN.
Menurutnya, disebabkan juga pendekatan berbeza, maka Pas bertahaluf dengan bukan Islam dan masyarakat majmuk bersama prinsip dan konsep Islam yang teguh.
“Umno pula berwala’ dengan bukan Islam dan bukan Melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisme yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri bersama syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Fahamilah secara ilmu dan ikhlas jangan menolak secara jahil murakkab,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan