SHAH ALAM, 28 MAC : Budaya ugutan dan memburukan peribadi pemimpin politik melalui fitnah video seks haruslah dihentikan kerana tindakan tersebut mendorong rakyat memilih pemimpin bukan berdasarkan idea yang dibawanya.
Budaya ini mampu mendorong parti-parti politik berlumba sesama sendiri untuk mendedahkan skandal seks lawan masing-masing dan akhirnya memaksa rakyat membuat pilihan tidak berdasarkan kemampuan seseorang pemimpin atau parti.
Demikian menurut bekas Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi TV Selangor hari ini.
“Kita juga akan menghadapi keadaan rakyat dididik memilik pemimpin yang bukannya baik dari segi ideanya, tetapi rakyat terpaksa memilih antara dua kejahatan.
“’A’ dan ‘B’ masing-masing bersaing mendedahkan kejahatan menyebabkan negara kita tak boleh pergi kehadapan,” ujar Dr Mohd Asri.
Dr Mohd Asri berkata jika budaya ini diterapkan individu yang mengkritik kerajaan akan berhadapan risiko intipan pihak tertentu dengan menggunakan kamera tersembunyi.
“Bagaimana jika kamera yang dipasang seperti di hotel juga merakam hubungan seks seorang ahli politik dengan isterinya umpamanya dan kemudian video ini dimiliki oleh sesetengah pihak?
“Kita dalam keadaan bahaya, sekiranya privasi individu itu dicerobohi, sejauh mana privasi rakyat, adakah setiap orang yang mengkritik kerajaan privasinya akan dicerobohi untuk dijadikan bahan politik,” ujar beliau lagi.
Budaya tersebut juga akan mencemari nama pihak yang mendedahkan atau menyebarkan fitnah tersebut.
“Walaupun ramai orang yang mendengar, tetapi ianya akan berlaku ‘over kill’ dan orang akan benci.
“Indentiti parti, indentiti kerajaan memerintah akan terkenal dengan kerajaan yang mengugut orang lain dengan isu-isu moral,” ujar beliau lagi.
Sebelum ini pengendali blog pro Umno-BN, Papa Gomo beberapa kali memfitnah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri video seks di blognya.
Dari rentetan siri-siri fitnah oleh Papa Gomo itu, Anwar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman blogger tersebut sebanyak RM 100 juta.
Terbaru, Papa Gomo turut memaparkan surat terbukanya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan harapan Anwar berundur daripada politik tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan