SPECIAL ADS

26 Jun 2013

Najib: Pendamaian kebangsaan hanya selepas Pakatan terima keputusan PRU

Kuala Lumpur 27 Jun : Pendamaian kebangsaan atau "national reconciliation" hanya akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pagi ini.

Sejak keputusan pilihan raya pada 5 Mei lalu, Pakatan Rakyat (PR) secara terbuka menyatakan pendirian untuk tidak mengiiktirafnya serta menuduh berlaku penipuan dan salah guna oleh kerajaan pemerintah sebagai punca kekalahan mereka.

"Kalau kita teruskan perkara ini (himpunan), sampai bila kita dapat mencari pendamaian kebangsaan... Jika mahukannya, terima keputusan," kata perdana menteri menjawab soalan ahli Parlimen Gelang Patah (DAP) Lim Kit Siang.

Najib mengatakan sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya 2013 diumumkan, kerajaan baru Barisan Nasional (BN) akan memulakan pendamaian kebangsaan, sebagai usaha-usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, selepas apa yang beliau gambarkan senagai "tsunami Cina" dalam pilihan raya umum ke 13 - menyaksikan BN menang dengan majoriti lebih kecil berbanding Pilihan Raya 2008.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia, selepas berakhir pilihan raya 5 Mei lalu turut  mengeluarkan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” sebagai tindakan menunjukkan keputusan pilihan raya dibentuk oleh kaum Melayu menentang kaum Cina.

Malahan kumpulan-kumpulan Melayu berhaluan juga mengadakan kempen memboikot barangan masyarakat Cina dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah mencadangkan supaya sekolah vernakular Tamil dan Cina dimansuh, bertentangan dengan gesaan perdamaian kebangsaan yang dikatakan oleh Najib.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan PR  memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya.

PR memperoleh undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN yang hanya mendapat 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Selain itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempertahankan tindakannya membantah keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dengan menuduh BN memenangi hasil daripada penipuan dan salahguna kuasa serta mendakwa proses pilihan raya dijalankan secara tidak adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu.

Pembangkang PR selepas pilihan raya telah mengadakan bantahan terhadap keputusan pilihan raya 5 Mei lalu dalam siri dan perhimpunan #Black505 ke seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu, serta mendakwa pemerintah BN memenangi pilihan raya dengan penipuan. - 26 Jun, 2013.

Tiada ulasan: