SPECIAL ADS

26 Jun 2013

Daftar pemilih automatik relevan meskipun terlambat

KUALA LUMPUR 27 Jun : PAS melihat pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun ke atas amat sesuai dan relevan meskipun agak terlambat.  

Namun begitu, PAS merasa hairan mengapa Perdana Menteri sekarang baru sedar dan mengakui hari ini bahawa pelaksanan sistem ini praktikal untuk dilaksanakan sedangkan Pakatan Rakyat telah lama menyuarakan perkara ini.

“Langkah kerajaan walaupun nampak betul, ia dilihat sumbang,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan. 

Sepatutnya, kata beliau cadangan itu telah lama dipraktikkan sebelum PRU13 lagi bagi memberi laluan jutaan rakyat terutama golongan kali pertama (first time voters) mendaftarkan diri dan seterusnya menunaikan hak mereka.

Menurutnya, dengan kaedah yang diguna pakai sekarang, hanya pengundi yang mempunyai kesedaran tinggi dan berkelapangan sahaja berusaha mendaftarkan diri mereka. 

Beliau berkata, majoriti penduduk terutama anak-anak muda yang tidak mempunyai kesedaran berhubung hak mereka memilih mendiamkan diri atau mengasingkan diri daripada menjadi pengundi. 

“Menjadi kesukaran buat parti-parti politik turun berkempen menyedarkan rakyat agar mendaftar diri secara sukarela di samping berkempen agar rakyat membeirkan undi buat mereka,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dalam keadaan negara yang semakin berkembang dengan teknologi baharu dan pelbagai kemudahan terkini diperkenalkan, sistem pendaftaran pemilih secara automatik boleh menjadi amat mudah dan pantas.  

Tuan Ibrahim berpandangan, jika cadangan ini dilaksanakan, tidak perlu parti politik bersusah payah membuka kaunter pendaftaran pemilih dengan kempen pendaftaran di mana-mana tempat atau SPR melantik ejen pendaftaran pemilih bagi mengajak rakyat mendaftar sebagai pemilih. 

“Bukankah ia menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit semua pihak termasuk SPR dan parti parti politik?” katanya.

Justeru, kata beliau PAS meminta kerajaan segera melaksanakan cadangan itu tanpa berlengah lagi. 

Menurut beliau lagi, menanti PRU14 dalam tempoh 5 tahun mendatang, ia bakal mendatangkan masalah andai ia tertangguh-tangguh beberapa tahun. 

Selanjtnya, tambah beliau setiap parti politik perlu bergerak ke hadapan dan antara langkah penting adalah mendaftarkan pemilih sesegera mungkin. 

“Jangan menunggu sehingga akhir penggal baru cadangan ini terlaksana dengan pelbagai kerumitan yang keributan akan timbul bagi menambah kekecohan pada PRU14,” katanya.

Tiada ulasan: