SPECIAL ADS

27 Jun 2013

Jawatan tertinggi Umno boleh dicabar

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR 27 Jun : Jawatan presiden dan timbalan presiden Umno akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu hujung tahun ini.

Perkara itu disahkan oleh setiausaha agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Tengku Adnan, parti itu tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding termasuk bagi merebut jawatan nombor satu parti.

"Semua jawatan boleh bertanding. Semua jawatan dari peringkat presiden hinggalah ke jawatan Majlis Tertinggi.

"Hanya daftarkan diri... semua boleh bertanding," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Isu membabitkan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu dibangkitkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang dilaporkan mencadangkan supaya jawatan tersebut tidak perlu dipertandingkan.

Cadangan itu disambut baik di pelbagai peringkat dalam parti supaya perkara itu direalisasikan.

Bagaimanapun ada juga yang membantah dan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang tidak mahu Umno menjadi parti yang eksklusif.

Adnan dilaporkan berkata bahawa kesemua jawatan harus terbuka untuk dipertandingkan bagi menjadikan Umno kekal relevan kepada golongan muda dan berpendidikan.

Tiada ulasan: