SPECIAL ADS

21 Jun 2013

| Print | Wan Ahmad 'pakai' baju BN secara tidak sedar

KUALA LUMPUR 22 Jun : Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa beliau bukan Ketua Bahagian Umno untuk membuat kenyataan menghentam Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, kenyataan Wan Ahmad yang menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit kerana akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di parlimen dilihat tidak wajar keluar dari mulut seorang pegawai SPR.

"Kenyataan Datuk Wan Ahmad Wan Omar telah mencukupkan sebab dan syarat untuk beliau berundur dari kerusi itu dengan segera. Nada sinikal dan celupar mulutnya telah menyebabkan rakyat menjadi meluat dan menyampah dengan beliau. 

"Apatah lagi dengan pelbagai kes penipuan yang berlaku semasa PRU ke 13. Beliau telah meningkatkan lagi  adrenalin rakyat dan memarakkan kemarahan rakyat untuk turun berhimpun hari ini," katanya.

Menurut Riduan, dalam apa juga keadaan Wan Ahmad tidak berhak memberikan apa juga komen atau kritikan terhadap keputusan politik mana-mana pihak. 

Tugas beliau secara profesionalnya adalah mengurus pilihanraya dan perkara yang berkaitan dengan pilihan raya, kata Riduan.

Kenyataan Wan Ahmad itu menurut Riduan menjelaskan lagi belang sebenar beliau yang tanpa berselindung beliau adalah pembela tegar BN dan musuh sebenar PR. 

Dengan tindakan itu katanya, sukar untuk Wan Ahmad kembali memakai topi dan baju rasmi SPR kerana beliau telah memakai baju BN secara tidak sedar. 

"Tindakan politik mengangkat sumpah atau tidak di parlimen ahli Parlimen PR bukan di bawah bidang kuasanya dan beliau tiada kaitan langsung untuk bercakap isu tersebut.

"SPR telah mensohorkan namanya di seluruh negara dan eloklah beliau berhenti SPR dan bertanding secara rasmi di mana-mana kerusi Parlimen di bawah tiket BN atas populariti yang dimilikinya," katanya.

Tiada ulasan: