KUALA SELANGOR 23 JUN : Kegagalan media yang dianggap “arus perdana” dapat dilihat daripada kemaraan Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya umum ke-13, yang berjaya menambah bilangan kerusi walaupun diserang bertubi-tubi oleh mereka.
Di dalam PRU-13, Pakatan menang 89 kerusi parlimen berbanding 82 dalam PRU12. Manakala Pakatan Rakyat Selangor mencatat keputusan cemerlang dengan menambah bilangan kerusi DUN dari 36 ke 44.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata penyiaran berita fitnah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sudah tidak relevan dan tidak diterima rakyat.
“Pada 2008 media arus perdana terlebih memburukkan PR dan rakyat meluat pada media arus perdana. Rakyat tak nak baca suratkabar, rakyat tutup televisyen. Kita jangan perlekehkan kebijaksanaan rakyat.
“Masalah Umno-BN terletak pada laporan dibuat Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 kerana mereka ‘overkill’ sehingga rakyat menjadi muak,” katanya ketika menjadi panelis dalam wacana bertajuk “Media Arus Perdana : Apa Nasib Pakatan Rakyat?
Wacana anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diadakan di Hotel De Palma di sini hari ini.
Panelis lain ialah Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dan Bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang manakala moderator adalah Wan Saiful Wan Jan dari Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Maka dengan itu, Faekah berkata, peranan dimainkan media arus perdana boleh dianggap gagal dalam mempengaruhi rakyat bagi menyokong Umno-BN.
“Kalau berita muka depan media arus perdana itu berperanan, Anwar tidak akan menang dalam PRU13 dan Azmin Ali tidak akan menang juga. Malah Selangor tidak akan menang 44 kerusi DUN,” katanya.
Sementara itu, Abdul Jalil berkata, media arus perdana perlu mencontohi akhbar The Star yang biarpun dikuasai MCA namun memberi ruang kepada parti lawan seperti DAP, PAS dan PKR dalam laporan beritanya.
“Yang salah media dimiliki parti politik tak beri ruang pada pihak lawan. Asyik tampilkan berita politik sendiri maka akan jatuh kredibiliti sendiri,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan