Kuala Lumpur 30 Jun : KEHILANGAN tiga tonggak utama, Mohd Safiq Rahim, Mohd Safee Sali dan Andrezinho yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada awal separuh masa pertama punca Johor Darul Takzim (JDT) gagal mencatat kemenangan ke atas Kelantan semalam.
Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim menyifatkan ketiadaan ketiga-tiga pemain tersebut jelas merencatkan strategi awal yang telah diatur oleh ketua jurulatih, Fandi Ahmad sebelum perlawanan bermula.
"Tidak dinafikan kehilangan tiga pemain tersebut (Safee dan Andre mengalami kecederaan pangkal paha manakala Safiq kecederaan di buku lali) jelas telah melumpuhkan gerakan tengah.
"Dan itu telah diambil kesempatan oleh Kelantan untuk menguasai perlawanan.
"Saya pun tidak tahu mahu cakap apa, kecewa menang kecewa dan semua pasukan kami merasainya.
"Tapi inilah dunia bola sepak, ada kalah dan menang. Apa pun saya ucapkan tahniah kepada Kelantan kerana muncul juara tahun ini," kata Ismail kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Pada masa sama, Ismail turut tidak menolak kemungkinan faktor kemenangan pasukan Gergasi Pantai Timur itu lebih kepada sejarah penyertaan mereka yang banyak beraksi di pentas final manakala hanya dua pemainnya, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya pernah beraksi di final sebelum ini.
"Mungkin pengalaman yang memberi kelebihan kepada Kelantan berbanding kita, saya lihat corak permainan yang dipamerkan Kelantan mantap.
"Mereka banyak menguasai bola dan itu beza antara kita dan Kelantan.
"Namun saya berharap pengalaman kali ini akan menjadi pengajaran berguna untuk pemain khususnya pemain muda untuk menghadapi baki perlawanan Liga Super selepas ini," ujarnya.
Semalam, misi JDT untuk menamatkan penantian selama 15 menjulang Piala FA tidak kesampaian apabila tewas 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas mengenai keputusan itu, Ismail menganggap nasib tidak memihak kepada pasukannya meskipun mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
"Jika kita lihat pada akhir perlawanan, pemain JDT menunjukkan perubahan berbanding separuh masa pertama.
"Kita banyak memberi tekanan kepada Kelantan malah mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tapi tiada rezeki.
"Justeru itu, saya harap pemain akan lupakan kekalahan ini dan kembali fokus pada saingan Liga Super yang turut menjadi misi kita untuk menjadi juara musim ini," jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan