SPECIAL ADS

23 Jun 2013

SPR peranannya suruhanjaya bukan "suruhan Umno"

KUALA LUMPUR 23 Jun : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengingatkan seluruh pimpinan Pakatan Rakyat terus bersuara memperjuangkan agar peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kembali kepada landasan asal.

Berucap pada majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang hari ini, Mohamad berkata, peranan SPR yang ada hari ini sudah menyimpang jauh dan dilihat seperti berkerja hanya untuk memenangkan Umno BN.

Bukti paling jelas katanya, boleh dilihat dengan pelbagai kepincangan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sehingga menyaksikan sejumlah 60 petisyen dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan juga BN.

Ianya tidak termasuk lagi kepincangan-kepincangan lain seperti penggunaan dakwat yang diyakinkan sebagai kekal, tetapi boleh tanggal sejurus selepas pengundian.

"Yang penting peranan SPR perlu dikembalikan. Peranan SPR adalah menjadi sebuah suruhanjaya, bukan "suruhan Umno"," katanya.

Turut menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis itu adalah Penasihat DAP Lim Kit Siang  dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesej himpunan sampai

Sementara itu, pada sidang media selepas itu Anwar berkata kehadiran rakyat ke Himpunan Aman Black 505 semalam cukup memberangsangkan biarpun berdepan pelbagai ugutan disamping masalah jerebu.

Pihak penganjur himpunan itu semalam mengumumkan kehadiran adalah melebihi 55,000 orang.

Menurut Anwar, soal kehadiran yang didakwa sesetengah pihak sebagai tidak mencapai sasaran bukanlah perkara besar, sebaliknya apa yang lebih penting adalah mesej yang telah disampaikan.

"Sambutan baik, penganjur umum (himpunan) berjaya.


"Yang penting mesej itu jelas. Kecurangan pilihan raya dihebahkan. Orang yang merompak, menipu, tidak boleh dilupakan begitu sahaja," katanya.

Tiada ulasan: