SPECIAL ADS

24 Jun 2013

Peguam: Pendakwaan tak panggil bekas pembantu Najib


24 Jun : Peguam kepada tertuduh dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu hari ini membangkitkan kegagalan pendakwaan untuk memanggil pembantu peribadi kepada timbalan perdana menteri pada waktu itu Datuk Seri Najib Razak, untuk memberi keterangan.
Peguam kepada Koperal Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa kegagalan pendakwaan untuk berbuat demikian menjadikan perbicaraan tersebut sebagai perbicaraan silap.

Katanya, hanya Musa boleh mengesahkan kebenaran afidavit kontroversi yang difailkan oleh tertuduh ketiga dalam kes berkenaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Kamarul berkata rekod telefon Abdul Razak menunjukkan komunikasi melibatkan lebih 30 mesej teks di antara Abdul Razak dan Musa di antara 7 Oktober dan 19 Oktober 2006.

Daripada jumlah itu, 12 mesej direkodkan pada 19 Oktober 2006 – pada malam Altantuya dibunuh.

"Hanya Musa yang boleh mengesahkan kredibiliti dan kebenaran afidavit Abdul Razak. Bagaimanapun pendakwaan memutuskan untuk tidak memanggil Musa untuk mengesahkan perkara ini.

"Bagi kami, Musa sepatutnya dipanggil oleh pendakwaan (dalam perbicaraan kes pembunuhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam) untuk mengesahkan atau menolak apa yang didakwa Abdul Razak dalam afidavit tersebut.

"Pastilah, dengan afidavit tersebut dan sekiranya Abdul Razak dipanggil, beliau akan berpegang kepada apa yang tertulis. Namun tiada peluang untuk pendakwaan mempersoalkan perkara tersebut kerana Musa tidak dipanggil,” kata Kamarul.

Oleh yang demikian, mahkamah tidak mengetahui perkara yang diperkatakan antara Abdul Razak dan Musa pada malam tersebut.

Kamarul juga membangkitkan bahawa penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin juga tidak menyatakan motif pembunuhan tersebut. MK

Tiada ulasan: