Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berjanji bekerja keras untuk memperbaiki sistem dan melaksanakan projek bola sepak, di negeri ini.
Baginda turut berterima kasih ke atas sokongan padu rakyat pada setiap perlawanan berlangsung biarpun pasukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) gagal membawa pulang Piala FA apabila tewas 0-1 di tangan Kelantan, malam tadi.
"Tahun ini adalah tahun pertama kita. Kita telah belajar banyak perkara sepanjang musim ini. Kita harus sedar di mana kita sekarang berbanding dengan musim-musim yang lalu.
"Saya berjanji akan sentiasa bekerja keras untuk memantapkan lagi pasukan Johor dan memperbaiki sistem dan projek bolasepak Johor secara keseluruhan. Ini baru tahun pertama kita, dan kita harus berasa bangga atas percapaian kita pada musim ini, " titahnya di laman sosial Johor Darul Takzim FC.
Tunku Ismail turut memuji pasukan bola sepak Johor mempunyai penyokong yang paling hebat di negara ini atas sikap tidak berputus asa, bersemangat, bersatu hati dan berdisiplin.
"Syukur saya juga ke hadrat ALLAH SWT kerana saya yakin dan pasti bahawa masa depan bola sepak negeri Johor sangat cerah dan berpotensi tinggi.
"Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua rakyat negeri Johor yang setia memberi sokongan. Jangan lupa, bahawa muafakat itu berkat. Saya berdoa semoga ALLAH sentiasa memelihara negeri Johor Darul Takzim," titahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan