SPECIAL ADS

26 Jun 2013

PRU13 curang, bagaimana nak bincang perdamaian

KUALA LUMPUR 26 Jun : Pendamaian Nasional yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu tidak dapat dilaksanakan jika Umno BN gagal menyelesaikan kepincangan sistem pilihan raya.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Umno BN harus membincangkan langkah-langkah menyelesaikan isu pertikaian proses pilihan raya sebelum bercakap mengenai pendamaian nasional.

"Bagaimana pendamaian nasional ini boleh dilaksanakan kalau kecurangan dan penyelewengan dalam proses pilihan raya tidak dapat ditangani oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Umno BN.

"Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Perdana Menteri bagi memastikan kecurangan dalam proses pilihan raya ini dapat ditangani sebelum kita bicara soal pendamaian nasional," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Azmin juga menegaskan, adalah mustahil untuk melaksanakan pendamaian nasional jika kerajaan Umno BN masih mengamalkan perkauman.

"Sejurus selepas PRU ke-13 Perdana Menteri juga ada anjurkan pendamaian nasional, satu pandangan yang boleh kita bincang dan bahaskan demi kepentingan rakyat dan juga negara.

"Tetapi dalam tempoh 24 jam kemudian Perdana Menteri yang sama keluar kenyataaan bahawa keputusan pilihan raya itu adalah hasil daripada tsunami Cina.

"Utusan Malaysia juga memaparkan sebagai lidah Umno menyatakan 'apa lagi Cina mahu'.

"Kalau inilah pendirian kerajaan Umno BN bagaimana mungkin pendamaian nasional ini dapat dilaksanakan," tegasnya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Najib dalam jawapannya bagaimanapun menafikan wujud penyelewengan dalam PRU13 dan memberitahu beliau belum menerima apa-apa bukti mengenai penipuan dalam PRU13.

"Kita perlu sedar bahawa sistem yang sama digunakan di peringkat pusat dan negeri dan tiga buah negeri pembangkang berjaya membentuk kerajaan. Kita ada proses, kita tidak boleh buat keputusan tanpa ada asas.

"Umpamanya tuduhan lebih 40 ribu bangla menjadi pengundi. Tak boleh kita buat tuduhan begitu. Setakat ini saya belum terima apa-apa bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan bahawa adanya kecurangan dan penyelewengan seperti yang didakwa.

"Jadi kalau tidak ada jangan buat tuduhan. Kalau tak puas hati kita ada proses di mahkamah," katanya yang juga Pengerusi BN.

Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang selepas itu juga mengemukakan soalan berhubung pendamaian nasional.

Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan usaha, kejayaan dan halangan terhadap pendamaian nasional sejak PRU13.

Najib dalam jawapannya berkata, pendamaian nasional di kalangan rakyat dapat dilaksakan jika semua pihak menerima keputusan PRU13 berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam usaha kita mencari dan mencapai pendamaian nasional, saya suka menegaskan bahawa premis utamanya ialah keputusan PRU-13 perlu kita terima sebagai satu keputusan yang muktamat kerana proses pilihan raya dijalankan mengikut Perlembagaan dan peraturan pilihan raya," katanya.

Hazayani Zakaria


Tiada ulasan: