SPECIAL ADS

27 Jun 2013

Sultan: 'Bersatu walau berlainan ideologi politik'

SHAH ALAM 28 Jun :  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak supaya memberikan kerjasama dengan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui PR tanpa mengira ideologi politik dalam membangunkan negeri ini.

Tuanku juga menggesa mana-mana pihak khususnya Adun Selangor supaya menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

"Beta berharap janganlah ada pihak yang menyalahtafsirkan peruntukan undang-undang itu untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

"Ahli-ahli Yang Berhormat dan Adun perlulah mematuhi peraturan mesyuarat tanpa mengira ideologi politik masing-masing," titah baginda yang berkenan merasmikan Upacara Pembukaan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13, di sini, hari ini.

Baginda juga mengingatkan Adun Selangor supaya mematuhi Peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan persidangan itu berjalan dengan teratur dan sempurna.

"Matlamat setiap ahli Dewan Negeri adalah sama iaitu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing," titahnya.

Tuanku juga bertitah supaya semua wakil rakyat Selangor menjaga tingkah laku dan berhati-hati dalam setiap tindakan susulan perlakuan mereka akan menjadi contoh kepada masyarakat dan mencerminkan ketamadunan serta kemajuan Selangor.

Selain itu, Tuanku mahu semua wakil rakyat di Selangor bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri itu.

Tambah Tuanku, Adun perlu sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang bagi memastikan tindakan dan keputusan yang diambil tidak bercanggah malah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor.
 

Tiada ulasan: