SPECIAL ADS

22 Jun 2013

Pemimpin Yang Menjadi Sebutan Masakini


23 Jun : Waktu dan zaman berubah. Ia juga membawa perubahan kepada keadaan sesebuah negara termasuk politiknya sendiri. Negara kita tidak terkecuali dari melalui perubahan ini. Tidak mungkin keadaan sekarang mampu memberikan satu kerajaan yang benar-benar stabil dan berkesan.

Baik dari pihak kerajaan dan pembangkang, roh politik yang sebenarnya secocok dengan kehendak rakyat dan negara sudah tidak dapat di perkasakan lagi. Tidak mungkin kita akan mengalami satu keadaan yang pernah kita alami dahulu jika keadaan sekarang berterusan berlaku.


Ramai rakyat yang berfikir, dan ada juga pemimpin yang mencari jalan penyelesaian terhadap kecelaruan politik negara kita ini. Tentunya penyelesaian itu terbit dari pemikiran manusia yang insaf dan tekun mengamalkan introspeksi terhadap kecelaruan ini. Yang berfikir dengan bertanggungjawab akan sentiasa mencari kaedah untuk memperbaiki keadaan negara dan diri sendiri.

Di akhir-akhir ini ada kedengaran usaha beberapa pemimpin dikalangan ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keadaan yang ada sekarang ini dan formula baru nampaknya sudah mula bertunas. Samada ia akan berjaya dilakukan, itu juga adalah ketentuan dari Tuhan Maha Esa. Seperti biasa keresahan dikalangan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli legislatif itu akan membawa perubahan dan gerak ini diharapkan adalah gerak yang diredhai Tuhan.

Kedengaran yang mereka bersungguh-sungguh mahukan perubahan ini dilakukan sekarang juga dan sambil itu melakukan transformasi yang sebenarnya yang diperlukan oleh negara dan rakyat. Jika gerakan ini menghasilkan perubahan kepada negara ia perlu mendapat sokongan semua pihak agar impian rakyat untuk hidup dalam ‘environment’ politik yang baru dan kesejukan siasah negara dapat dirasakan semua.

Kita mahukan sebuah negara baru, seperti yang selalu disebutkan oleh blog ini. Kita mahukan dasar yang baik perlaksanaannya. Kita mahukan imej rasuah yang tertempel kepada kerajaan hari ini dihapuskan dan ‘stigma’ BN itu rasuah, rasuah itu BN wajib dilenyapkan.

Imej ini tentulah datang bersama dengan manusia yang memimpinnya. Seperti yang blog ini selalu tekankan, tiada siapa dikalangan ahli-ahli kabinet sekarang berkemampuan untuk membawa perubahan ini kerana mereka semuanya terlibat dengan isu rasuah ini, setidak-tidaknya dalam erti kata ‘collective responsibility’ jemaah menteri itu.

Ia mesti dilakukan oleh pemimpn yang dipilih rakyat yang tidak terlibat bersama kabinet sekarang dalam semua keputusan ‘collective’ itu. Memilih gantian dari mereka yang berada dalam barisan kabinet dan MT UMNO sekarang ini tidak akan ada perubahannya. Selalu blog ini menyatakan dengan tegas yang mereka ini datang dari satu acuan yang sama.

Apabila kerajaan baru itu dipimpin oleh seorang yang tidak berada didalam kabinet yang mempunyai ‘stigma’ buruk itu, sekali gus imej dan pandangan serta persepsi rakyat itu akan berubah. Perubahan ini perlu dilakukan dengan kadar yang segera sebelum kita berpecah dan berbelah dalam semua hal kehidupan bernegara. Jika perubahan ini berlaku secara yang disebutkan dan dicadangkan ini maka kita agak pasti negara kita akan dipandang dengan lebih tinggi oleh masyarakat antarabangsa.

Jika Najib menjadi isunya sebagai Perdana Menteri yang terlemah ia tidak boleh diperbaiki. Tetapi beliau boleh mengubah imej serta persepsi rakyat terhadap beliau dengan mewariskan kepimpinan negara kepada seorang yang bertanggungjawab dan beramanah. Meninggalkan nama yang baik bukan semestinya melalui hasil kerja yang baik tetapi juga dengan memberikan tanggungjawab negara kepada orang yang lebih berkemampuan dari beliau itu juga adalah tindakan meninggalkan nama yang baik buat beiau.

Tindakan mengaku kelemahan dan memberikan kepimpinan negara kepada seorang yang berkebolehan untuk memperbaiki keadaan negara itu sendiri adalah pengorbanan yang sangat besar kepada rakyat dan negara. Tindakan itu juga adalah tindakan mulia demi untuk rakyat dan negara.

Beliau akan diingati oleh generasi yang akan datang sebagai seorang pemimpin yang berani melakukan tindakan untuk kebaikan dengan berkorban kepentingan peribadi beliau sendiri. Begitu juga kepada Muhyidin Yassin dan rakan-rakan kabinet yang lain. Mereka juga akan turut dikenang oleh generasi yang telah menyokong usaha rakyat untuk merubah dan menghindarkan negara dari terjerumus kedalam politik yang kacau bilau.

Jika berlaku perubahan ini, maka kita tidak lagi bersusah payah memikirkan tentang tindakan rakyat berhimpun ke sana ke mari sambil berbalas-balas tuduhan diantara pihak-pihak yang berbalah sekarang ini.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran apa yang kita dengar itu. Tetapi jika Tengku Razaleigh lah orangnya yang disebut-sebut menjadi pilihan untuk diberikan tugas memperbaharui semangat negara dan demokrasi kita serta rakyatnya, ia merupakan berita yang amat memberangsangkan oleh banyak pihak dinegara ini.

Dari sudut psikologinya sahaja negara akan menganjakkan imej dan stigma negatif negara yang sedang kita alami sekarang ini kepada imej yang baru yang memberangsangkan. Apa yang sangat perlu bagi negara sekarang ialah lonjakan persepsi yang baik untuk memulakan kerja dan tanggungjawab mengtransformasikan negara dengan semangat baru dalam ‘ambience’ siasah yang baru.

Bermula dengan semangat yang baru dan suasana politik negara yang baru, maka mudahlah kita mengalihkan tumpuan rakyat yang sedang berbalah sesama sendiri di negara ini kepada penantian baru bagi mereka. Lantas lebih mudahlah rakyat bersatu serta memberikan sokongan kepada kerajaan baru dengan doa serta restu yang menyeluruh dari rakyat jelata. Suasana politik baru inilah faktur besar yang akan menyatukan rakyat yang sedang berbalah ini.

Dalam perjumpaan-perjumpaan saya dengan semua pihak setiap hari jelas apa yang kita dengar sekarang sudah terbina harapan menggunung yang sangat-sangat mereka tunggu dan nanti-nantikan, iaitu sebuah negara yang bersemangat baru.

Blog ini bersama yang ramai dibawah ini amat teruja untuk menulis lagi tentang isu ini lagi dalam posting-posting yang akan datang. Kerana apa blog ini teruja untuk menulisnya? Kerana nama yang disebut-sebut itu adalah nama yang sangat cocok dengan keperluan negara yang inginkan pembaharuan itu.

Tengku Razaleigh merupakan seorang ahli politik yang veteran disamping seorang teknokrat dan 'planner' pembangunan yang telah meletakkan asas ekonomi negara dizaman kegemilangan beliau. Hanya politik dalaman UMNO semasa itu yang telah mengenepikan beliau dari arus perdana politik negara. Beliau dikenali diperingkat antarabangsa dan pernah mempengerusikan setidak-tidak tiga institusi kewangan antarabangsa yang berbeza fungsinya dalam satu masa yang sama.

Diantaranya ialah Bank Dunia yang beribu Pejabat di Washington, Bank Pembangunan Islam yang beribu Pejabat di Jeddah serta Bank Pembangunan Asia yang beribu Pejabat di Manila. Hanya politik dalaman UMNO sahaja yang menyebabkan beliau diketepikan sejak tiga puluh tahun dahulu sehinggalah sekarang.

Teruja pula blog ini untuk menulis tentang pemimpin yang sedang menjadi sebutan ramai sekarang ini. Insyaallah, kita berjumpa lagi.

Aspan Alias

Tiada ulasan: