SPECIAL ADS

29 Jun 2013

TPPA : Harga Ubat Bakal Naik, Syarikat Asing Cengkam Malaysia

TPPA Poster Portrait
KUALA LUMPUR 29 JUN : Walaupun ia belum lagi mendapat perhatian umum, isu TPPA atau Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) bakal memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia seperti isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
Menurut pakar undang-undang perubatan di dalam sebuah forum baru-baru ini, apabila TPPA dikuatkuasa, ia boleh menyebabkan harga ubat-ubatan naik, kerana ubat yang tidak berjenama akan lambat dihasilkan.
Manakala seorang lagi pakar ekonomi mendakwa TPPA boleh memberi hak kepada syarikat asing untuk mendakwa Kerajaan Malaysia untuk menuntut kerugian, walaupun kerajaan bertindak untuk kepentingan rakyat Malaysia.
Paka-pakar tersebut berkata demikian dalam Forum bertajuk ‘Adakah TPPA Bentuk Penjajahan Moden Amerika’, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini baru-baru ini.
Perkara tersebut dilaporkan penyelaras Blindspot Anas Alam Faizli, seorang penganjur forum tersebut di dalam satu kenyataan media di sini.
Panelis Fifa Rahman, Pakar Undang Undang Kesihatan, berkata kenaikan harga ubat-ubatan di bawah TPPA adalah kerana pemanjangan tempoh paten atau hak cipta ubat berjenama.
Sebagai contoh ubat berjenama untuk kanser dijual pada harga yang mahal RM 9,600 ke RM 10,000.
Akan tetapi TPPA akan menyebabkan ubatan generic (tidak punyai jenama) yang lebih murah sukar untuk dihasilkan.
Pakar Ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakob pula berkata sistem penyelesaikan pertikaian antara pelabur dan kerajaan (ISDS) di dalam TPPA dikhuatiri menyebelahi pelabur semata-mata di dalam kes mahkamah.
Sebagai contoh Dr Rosli berkata Amerika Syarikat dan Peru telah menandatangani sebuah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang mengandungi ISDS.
Di dalam satu pertikaian antara syarikat US dan kerajaan Peru, syarikat itu telah menyaman kerajaan Peru sebanyak USD 4.2 billion walaupun syarikat itu yang jelas telah mencemar sungai dengan racun kimia yang membunuh rakyat Peru terutama kanak-kanak.
“Malah syarikat saperti LYNAS juga boleh menyaman kerajaan Malaysia jika agensi alam sekitar menyekat operasi mereka dengan penguatkuasaan peraturan alam sekitar.
“Ini bermakna undang-undang bagi keselamatan dan kesihatan awam akan jatuh sekunder pada perjanjian tersebut,” kata Dr Rosli.
Menurut Anas, rundingan TPPA akan diadakan di Kota Kinabalu pada 15 – 22 Julai dan perjanjian itu dijangka ditandatangani pada Oktober 2013.
Forum itu dianjurkan Blindspot bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Ikram dan beberapa NGO lain turut membariskan Pakar Perdagangan, Universiti Malaya, Prof Dr. Nazari Ismail.

Tiada ulasan: