KANGAR 12 Jun : Rakyat terus bangun untuk melawan penipuan di dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) yang lalu terutamanya selepas bertahun-tahun menuntut sistem pilihan raya yang bersih kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dengan adanya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang membuat lapan tuntutan termasuk dakwat kekal tetapi penipuan terus berlaku.
Berucap pada program Himpuan Black 505 peringkat negeri Perlis malam semalam, beliau berkata pada PRU13 yang lalu, semua rakyat yang turun mengundi telah ditipu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Yang kita marah betul kali ini bukan apa, sejak beberapa tahun ini terutamanya sejak sejak tahun 2008 dengan adanya Bersih, seluruh kempen kita adalah tertumpu kepada sistem pilihan raya yang bersih. Setelah kempen-kempen yang kita buat, mereka masih tipu.
"Saudara tahu betapa susahnya kita nak dapat dakwat kekal? Dengan lapan tuntutan Bersih, berapa kali kita berhimpun dengan ratusan ribu yang turun ke Kuala Lumpur, kemudian jawatankuasa parlimen berbahas selama beberapa bulan, bertengkar dalam parlimen dan akhirnya Najib kata setuju dan SPR pun kata setuju dengan dakwat kekal. Tapi kekal atau tidak?
"Dia tipu siapa? Dia tipu rakyat. Bolehkan kita begitu bodoh untuk ditipu, di mana maruah kita? Kalau tak selesai pilihan raya ini, penipuan ini tak diperbetulkan dan SPR tidak letak jawatan, percayalah bahawa tidak akan ada pilihan raya yang bersih selepas ini.
"Kita akan ajar pemimpin rasuah dan penipu ini, we must teach them a lesson, enough is enough. Sebab itulah kita adakan himpunan seperti ini dan himpunan pada 22 Jun ini sebagai perhimpunan di peringkat nasional untuk menyatakan kepada Malaysia dan seluruh dunia kita menolak penipuan dalam pilihan raya.
"Kita minta diadakan pilihan raya semula tapi dengan syarat pemimpin SPR yang ada kena letak jawatan dulu," katanya kepada sekitar 7000 orang hadirin yang membanjiri dataran kompleks perniagaan di Kampung Bakau dekat sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan