SPECIAL ADS

11 Jun 2013

Harga Perodua turun, servis percuma

KUALA KRAI 12 Jun :  Langkah kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat sudah pun dilaksanakan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dalam bentuk pelancaran Siri-S, baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, penurunan harga itu dilaksanakan dengan membantu pelanggan menurunkan kos pemilikan kereta secara keseluruhan.

Selain mengurangkan harga kereta katanya, Perodua turut memberi nilai tambah dari segi aksesori dan servis percuma selama tiga tahun, bukan sahaja kepada Siri-S malah untuk semua model.

“Menerusi langkah ini, nilai kami berikan kepada pelanggan adalah antara RM4,500 dan RM5,600,” katanya pada majlis perasmian pusat jualan dan bilik pameran terbaru Perodua, ABH Sales Sdn Bhd, di sini, semalam.

Perasmian pusat jualan dan bilik pameran Perodua kelima di Kelantan dan ke-19 di Pantai Timur itu turut dihadiri Pengarah Urusan ABH Sales Sdn Bhd, Ab Halim Hassan.

Aminar Rashid berkata, sejak dilancarkan Mac lalu, tempahan untuk varian terbaharu beberapa model Siri-S berjumlah 4,000 buah dengan 3,000 daripadanya sudah diserahkan kepada pelanggan.

“Kami dalam perancangan untuk meningkatkan pengeluaran supaya tempoh menunggu sebelum kereta dapat diserahkan kepada pelanggan boleh dikurangkan,” katanya.

Menurutnya, jika dilihat kepada nilai tambah diberikan terutama servis percuma selama tiga tahun untuk kesemua model, kini masa terbaik untuk membeli kereta keluaran Perodua.

“Harga kereta sudah turun, tak perlu tunggu lagi. Tahun ini masa terbaik untuk beli kereta kerana tahun depan, mungkin servis percuma tiga tahun sudah tidak ada kerana melibatkan perbelanjaan besar,” katanya.

Sementara itu, Aminar Rashid berkata, Perodua merancang untuk membuka lapan pusat jualan dan 15 pusat servis baharu pada tahun ini sebagai tambahan kepada 185 pusat jualan dan 174 pusat servis sedia ada.

“Pusat jualan dan servis tambahan ini diluluskan pada 2011 dan 2012 lagi tetapi kesukaran mencari lokasi sesuai menyebabkan kelewatan untuk memulakan operasi,” katanya.

Tiada ulasan: