KOTA BHARU 08 Jun : Kerajaan negeri merancang membina banyak institusi ulama termasuk Institut Pemikiran Tok Guru dalam usaha melahirkan ramai ulama dalam pemerintahan.
Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, Institut Pemikiran Tok Guru sudah diluluskan, Cuma tinggal masa untuk melaksanakannya secara rasmi sahaja.
“Kita lihat keperluan dalam meluluskan institut pemikiran ini kerana ia akan dijadikan tempat rujukan hasil karya selama 23 tahun Tok Guru (Datuk Nik Aziz Nik Mat) memimpin negeri ini sebagai Menteri Besar.
“Biarpun akhir-akhir ini kesihatan beliau (Nik Aziz) tidak baik, namun jiwanya sentiasa muda.
“Dengan kekuatan yang ada padanya, beliau berjaya menghasilkan banyak sumbangan penulisan artikel dan suntingan secara langsung membantu politik dalam bentuk kaset, buku serta kitab yang menjadi rujukan segar kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Derma Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai oleh Alumni Pelajar Kelantan di Mesir, di pekarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, kelmarin.
Ahmad berkata, penubuhan institut pemikiran berkenaan akan disertai dengan pengarah, pegawai dan kakitangan yang lengkap supaya pengunjung yang datang ke Kota Darul Naim, di sini boleh mendapatkan maklumat bersama Nik Aziz.
“Pengunjung boleh mendapatkan maklumat bersama Tok Guru (Nik Aziz) seminggu sekali dan sebulan sekali mendengar kuliah umum di institut pemikiran itu. Jadi, sekarang kita berdoa semoga supaya beliau sihat dan diberi kekuatan dalam menyampaikan wadah dalam Islam dan Pas,” katanya.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyatakan kesedihan apabila mengenangkan kekurangan ulama kerana ada yang sudah meninggal dunia dan uzur.
“Perkara yang menyedihkan apabila ada sahabat ulama kembali ke Rahmatullah, dalam pada itu ada juga yang uzur seperti Datuk Mohammad Daud Iraqi yang merupakan khazanah ilmu kini tidak dapat mengeluarkan kata-kata, hanya boleh memahami sahaja.
“Ini cabaran besar kepada kita sebagai ulama dan saya sudah berbincang akan mewujudkan lebih banyak institut lain untuk kita manfaatkan peluang di Kelantan,” katanya.
Beliau turut mengakui terasa ‘sunyi’ apabila Nik Aziz meninggalkan tampuk pentadbiran di Kelantan atau memberi laluan kepada beliau menerajuinya.
“Ini kerana kita mungkin tidak mempunyai pelapis yang memainkan peranan seperti beliau (Nik Aziz) dan semestinya kerjasama semua pihak perlu dalam menghadapi cabaran semasa.
“Cabaran ini pula perubahannya cepat berlaku dan kadang-kala memerlukan keputusan yang bijak perlu dibuat dalam satu-satu masa tertentu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan