SPECIAL ADS

8 Jun 2013

Perkenal semula sistem kuota Umno

08 Jun : Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyarankan supaya diperkenalkan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, yang pernah dipraktikkan sebelum ini.
    
Beliau berkata langkah itu difikirkan relevan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak kebelakangan ini yang mahukan supaya kedua-dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.
    
"Lebih penting, pengenalan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah untuk menentukan mereka yang bertanding jawatan tersebut mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kota Belud hari ini.
    
Salleh yang juga ketua Umno bahagian Kota Belud berkata sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah mekanisme terbaik memastikan keutuhan parti sebagai tunjang pemerintahan negara ini.
    
Jika tidak, katanya, sembarangan orang termasuk mereka yang tidak mempunyai kredibiliti boleh menawarkan diri bertanding jawatan tersebut, dan ia tidak baik untuk parti.
    
"Sementara bagi jawatan-jawatan lain, termasuk naib presiden, Ahli Majlis Tertinggi (AMT), ketua bahagian dan semua sayap parti boleh dikekalkan sistem pencalonan dan pertandingan yang sedia ada," katanya.
    
Ini, katanya, selaras dengan semangat pindaan perlembagaan Umno yang dibuat sebelum ini, yang memberi peluang kepada lebih ramai ahli menentukan hala tuju kepemimpinan parti.
    
Bekas ketua menteri itu berkata semangat pindaan perlembagaan tersebut perlu dipertahankan demi kelangsungan perjuangan Umno.
    
Sebelum ini, calon yang ingin bertanding jawatan presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian, timbalan presiden (20 peratus), naib presiden (10 peratus) dan kerusi Majlis Tertinggi (5 peratus).
    
Pada 24 April 2009, Majlis Tertinggi Umno bersetuju perlembagaan parti dipinda yang menyentuh kaedah dan proses pemilihan supaya ia lebih telus, terbuka dan demokratik.
    
Pindaan perlembagaan Umno kemudian dibuat pada perhimpunan agung tahunan Umno pada Oktober tahun yang sama.
    
Dalam pada itu, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan mengajak ahli parti semua peringkat supaya memperkukuh semangat perpaduan, demi menjadikan Umno kekal sebagai parti inklusif.
    
"Kekuatan ahli Umno di peringkat akar-umbi memainkan peranan besar dalam mengupayakan perjuangan dalam usaha menjadikan Umno lebih inklusif," katanya.

Tiada ulasan: