SPECIAL ADS

10 Ogos 2014

Adakah Abdul Khalid sertai Pas?



SHAH ALAM - Tidak mustahil sekiranya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai Pas selepas PKR mengumumkan pemecatannya sebagai ahli parti itu berkuat-kuasa serta-merta, semalam.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kebarangkalian perkara tersebut tidak boleh dinafikan.

Namun begitu katanya, penyertaan Abdul Khalid sebagai ahli Pas bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas terlebih dahulu.

"Jika ahli Majlis Syura Ulama Pas memutuskan membenarkan Abdul Khalid menyertai parti itu, tidak mustahil beliau akan masuk Pas dengan mudah.

"Bagaimanapun, jika dilihat dari perspektif lain, penerimaan Abdul Khalid sebagai ahli Pas juga akan menimbulkan perbalahan dalaman Pas serta konflik yang lebih parah dalam PR," katanya, semalam.

Beliau berkata, konflik Menteri Besar Selangor itu juga menyebabkan Pas dan PKR menerima impak besar ekoran krisis kepimpinan yang berlaku.
Katanya, DAP selaku parti komponen PR juga akan menerima tempias akibat konflik antara kedua-dua parti terbabit.

"Bagaimanapun, setakat ini, pendekatan DAP jelas menyokong PKR dan tidak kira apa yang berlaku selepas ini, DAP dilihat akan sentiasa berada di belakang PKR," katanya.

Ketika mengulas berhubung status Abdul Khalid sebagai menteri besar, Mohd Azizuddin berkata, pemecatan sebagai ahli PKR tidak menjejaskan jawatan disandang Abdul Khalid sekarang.

"Dia masih Menteri Besar Selangor kerana pemecatan dalam parti tidak sama dengan pemecatan dalam kerajaan.

"Pemecatan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar mesti melalui undi tidak percaya di Dun," katanya.

Beliau berkata, undi tidak percaya yang akan dibuat juga dijangka menghasilkan keputusan menarik.

Katanya, apa yang kita jelas, PKR dan DAP menolak Abdul Khalid, manakala Pas pula berbelah bahagi.

"Undi tidak percaya adalah undi rahsia, jadi keputusan nanti, mungkin akan ada antara ahli DAP dan PKR yang akan menyokong Abdul Khalid," katanya.


- Sinar Harian

Tiada ulasan: