SPECIAL ADS

13 Ogos 2014

Khalid disaran wujud konsensus Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran mewujudkan Konsensus Selangor yang baru berbanding memilih untuk menganggotai mana-mana parti politik. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 13 Ogos, 2014.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran mewujudkan Konsensus Selangor yang baru berbanding memilih untuk menganggotai mana-mana parti politik, demikian menurut seorang penganalisis politik.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata dalam menghadapi kemelut isu pertukaran menteri besar ketika ini, Khalid perlu berbuat demikian bagi mendapatkan majoriti Yang Berhormat (YB) untuk menyokongnya.

"Khalid sepatutnya mewujudkan satu Konsensus Selangor yang baru dengan menjadikan PAS sebagai teras kerajaannya sementara Umno sebagai kuasa tambahan selain memujuk beberapa lagi YB untuk turut serta dalam konsensus politiknya.

"Lebih baik beliau tidak menyertai mana-mana parti sama ada PAS mahu pun Umno, tetapi bertindak mendapatkan sokongan YB atas kapasiti kepercayaan terhadap beliau sebagai individu yang masih boleh bekerja," katanya kepada Bernama.

Khalid, pada Sabtu lepas dipecat oleh PKR kerana enggan mematuhi arahan parti untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikannya.

Namun, Khalid terus memegang jawatan menteri besar setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin.

Menyifatkan jika Khalid berjaya mendapatkan konsensus itu sebagai satu platform baru politik Selangor, Md Shukri berkata: "Demi kepentingan rakyat, Abdul Khalid perlu mengetuai kerajaan gabungan antara parti di Selangor yang melibatkan Umno, PAS dan juga YB bebas untuk membina kestabilan negeri itu.

"Inilah masanya Barisan Nasional dan PAS menilai kepentingan negeri dan rakyat melebihi daripada retorik politik semata-mata."

Penganalisis politik itu berkata kerajaan pimpinan Khalid perlu membuktikan bahawa pentadbirannya adalah didasari komitmen untuk melindungi negeri dan pentadbiran daripada kerakusan politik.

Semalam, Khalid bertindak memecat 6 anggota Exco daripada DAP dan PKR atas alasan tidak menyokong pentadbirannya dan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bersama 4 Exco PAS.

Menurutnya tindakan menamatkan khidmat Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah daripada DAP dan Elizabeth Wong Keat Ping serta Dr Daroyah Alwi daripada PKR dilakukan kerana tindakan mereka mengeluarkan kenyataan untuk tidak bekerjasama dengannya adalah bercanggah dengan 10 Akujanji dan Sumpah Kesetiaan yang dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Khalid bagaimanapun hari ini berkata surat pemecatan kepada seorang anggota Exco daripada PKR, Rodziah Ismail masih belum dihantar kerana Adun Batu Tiga itu dikatakan berada di luar negara.

Md Shukri berpendapat kemelut yang melanda PKR berlaku kerana parti itu bergerak sebagai parti yang mengikut selera Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemelut politik yang membawa kepada berlakunya dilema eksekutif pentadbiran negeri Selangor adalah agenda Anwar. Apabila (Presiden PKR Datuk Seri) Dr Wan Azizah berada dalam Dewan Undangan Negeri (hasil Langkah Kajang), maka masalah menjadi besar dan mengheret Selangor kepada ketidakstabilan kuasa.

"Khalid dijadikan mangsa politik kerana Anwar menganggap beliau mudah dijatuhkan dengan menyingkirkannya daripada keahlian PKR. Hakikatnya Khalid masih mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk terus memegang jawatan menteri besar," katanya. TMI

Tiada ulasan: