SPECIAL ADS

6 Ogos 2014

Majlis Syura PAS mahu Khalid kekal MB Selangor, anggap ia hak bersama

Majli Syura Ulama PAS buat keputusan sokong Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar Selangor, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Gambar fail The Malaysian Insider.
Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam memutuskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar Selangor kerana beranggapan pelantikannya adalah hak bersama parti dalam Pakatan Rakyat (PR).
Dalam satu kenyataan yang ditandatangani Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, mereka berkata:"Selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan menteri besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan mengekalkan Khalid sebagai MB Selangor.
“Jika ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak berautoriti seperti SPRM atau mahkamah maka Majlis Syura Ulama bersedia menilai kembali kedudukan beliau,” kata kenyataan itu.
Majlis Syura Ulama PAS juga menegaskan sekali lagi PAS akan tetap istiqamah dengan dasar dan prinsip perjuangan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya dan terus memberi komitmen bersama PR.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat petang semalam yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), pusat konvensyen PAS dekat Pengkalan Chepa, Kota Baru, Kelantan.
Mesyuarat yang pada mulanya dipengerusikan Nik Aziz mengambil keputusan itu menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bakal berlangsung 10 Ogos ini di Kuala Lumpur.
Nik Aziz meninggalkan mesyuarat kira-kira setengah jam selepas mesyuarat bermula pada jam 2.30 petang.
Keputusan ini bertentangan dengan keputusan PKR yang mahu menggantikan Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
PKR menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Khalid ekoran kegagalannya mematuhi keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mahu menggantikannya dan dijangka menerima tindakan seterusnya termasuk dipecat daripada parti rakan PAS dalam PR.
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongannya terhadap Khalid diikuti sokongan Nik Aziz.
Semalam Bernama melaporkan, Nik Aziz kekal dengan sokongan terhadap Khalid.
Nik Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan berkata, tidak ada sebab baginya untuk mengubah pendirian berhubung kemelut isu menteri besar Selangor itu.
"Saya cakap sekali saja, bukan dua kali. Anda boleh 'check' (periksa) kenyataan saya dulu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di Kota Baru, semalam.
Beliau yang kelihatan sedikit uzur menasihatkan pihak lain yang menuduh Khalid terbabit dengan salah laku semasa memegang jawatan itu agar tidak berterusan memburukkan menteri besar itu.
Menurut kenyataan Majlis Syura hari ini, dasar PAS ialah Islam, dan Fasal 6(2) antara usaha PAS adalah "memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara."
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Majlis Syura juga memandang serius beberapa kenyataan terbuka sebahagian pimpinan parti yang dilihat menyanggahi kenyataan presiden sebagai ketua parti.
"Maka Majlis Syura Ulama memberi peringatan tegas kepada seluruh pimpinan dan ahli parti agar kenyataan ini dihentikan serta merta," kata kenyataan itu. TMI

Tiada ulasan: