SPECIAL ADS

29 Ogos 2014

Sultan Selangor tolak calon MB dikawal orang lain

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) memberi perkenan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri) mentadbir Selangor hingga menteri besar baharu dilantik. Gambar fail The Malaysian Insider.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan menolak calon menteri besar yang boleh dipengaruhi oleh individu tertentu dengan “kawalan jauh”, lapor portal Mstar Online yang diterjemah daripada berita muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

Laporan yang memetik sumber yang dekat dengan istana itu dipercayai merujuk kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut laporan itu lagi, Sultan Selangor juga berhasrat calon menteri besar yang baharu itu bukan saja mendapat sokongan majoriti 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor, tetapi turut berkemampuan untuk mentadbir negeri.

“Sultan Selangor mahu seseorang yang prihatin terhadap keperluan rakyat dan membangunkan negeri di peringkat tertinggi,” kata sumber Istana Selangor seperti dilaporkan Mstar.

Sumber itu turut menyalahkan Pakatan Rakyat (PR) kerana membangkitkan masalah sehingga menimbulkan krisis politik di Selangor dan menjejaskan pentadbiran negeri.

“Ini adalah masalah dalaman parti,” katanya seperti dilaporkan.

Sumber itu memberitahu portal milik The Star itu, seperti yang termaktub mengikut Artikel LI (1), LII (2)(a), (4) dan LV (2)(a) dalam Perlembagaan Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor diberi kuasa budi bicara mutlak untuk melantik seorang menteri besar bagi kerajaan negeri Selangor di mana bagi pendapat pemerintah, ia mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.

“Seseorang itu perlu berupaya bekerja dengan semua parti termasuk barisan exconya sendiri serta mempunyai hubungan baik dengan istana,” kata sumber itu.

Portal itu turut melaporkan sumber itu berkata, Perlembagaan negeri tidak menetapkan hanya anak Selangor yang boleh menjadi menteri besar.

“Sebagai contoh, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Jamil Rais dilahirkan di Perak tetapi sebahagian besar hidupnya menetap di Selangor,” katanya.

Sumber itu berkata, Sultan Selangor turut menyuarakan perasaannya mengenai kenyataan anti-Istana yang dibuat ahli politik tertentu yang merosak dan menyakitkan hati dan membatasi dengan hasutan.

Beliau berkata, istana berkecil hati dan tersinggung dengan serangan berterusan daripada pihak tertentu.

“Istana berdiam diri tetapi segelintir pihak membuat kenyataan anti-Istana.

“Kenyataan tersebut menyinggung perasaan. Mereka ini perlu membaca Perlembagaan negeri dan memahami konvensyen istana, protokol dan tradisi sebelum membuat sebarang komen berhubung situasi itu.

“Peguam tertentu daripada parti politik diupah untuk mentafsir perkara menurut apa yang pelanggan mahu,” katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun, Sultan Selangor tidak bimbang kerana krisis tercetus oleh parti menteri besar ketika ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum beliau dipecat.

“Tan Sri Khalid Ibrahim masih lagi menjadi menteri besar, manakala baginda Sultan akan mengambil masa untuk membuat keputusan terbaik buat rakyat.

“Tidak perlu panik kerana kerajaan sekarang bukan hanya kerajaan sementara semata-mata, ia adalah kerajaan penuh. Perkara yang berlaku adalah melibatkan pertukaran menteri besar dariPakatan Rakyat." TMI

Tiada ulasan: