SPECIAL ADS

10 Ogos 2014

Sultan berhak putuskan nasib Khalid sebagai MB Selangor, kata ahli sejarah

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Diraja hari ini untuk membincangkan isu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menemui Majlis Diraja Selangor bagi membincangkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.
Difahamkan Sultan Selangor akan mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri ahli majlis termasuk Khalid bagi membincangkan masa depan kerajaan negeri Selangor.
Majlis Diraja biasanya bermesyuarat sebulan sekali dan dipengerusikan Sultan bagi membincangkan enakmen dan isu pentadbiran negeri.
Ahli mesyuarat itu yang terdiri daripada Khalid selaku menteri besar, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Tengku Bendahara Selangor Tengku Azman Shah.
16 ahli lain yang berada dalam majlis itu adalah kerabat diraja dan pembesar daerah.
“Mereka adalah penasihat Sultan dan mereka melindungi kepentingan diraja, kedudukan Sultan, hak baginda dan pentadbiran negeri,” kata Professor Datin Paduka Dr Ramlah Adam, Pengarah Pusat Kajian Institusi Diraja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis kepada The Malaysian Insider.
“Majlis itu menurut titah Sultan dalam memantau pentadbiran negeri dan kuasa baginda di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya.
Ahli dilantik oleh Sultan dan ahli yang berada dalam majlis sekarang dilantik pada 18 November tahun lalu.
Mereka beroperasi di pejabat Sultan dan akan berkhidmat sehingga 30 November 2016.
Ramlah berkata, walaupun ramai yang tidak menyedari kewujudan pembesar daerah dan tugas mereka, sistem itu wujud sejak kedatangan British ke Tanah Melayu.
“British berkata mereka tidak akan merosakkan budaya kita maka sebab itulah kita mengekalkan sistem diraja sehingga ke hari ini. Kuasa ketua negeri terletak dalam majlis yang mana mereka adalah sebahagiannya,” katanya.
Beliau berkata, Khalid mengambil langkah betul apabila meminta nasihat majlis kerana beliau merupakan menteri besar penggal kedua dengan perkenan Sultan.
“Walaupun Sultan menerima nasihat majlis mengenai apakah tindakan seterusnya yang akan diambil, baginda juga mempunyai hak memutuskan apakah yang akan berlaku kepada menteri besar,” katanya.
Sultan akan menggunakan kuasanya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membentangkan usul tidak percaya kepada menteri besar apabila dewan bersidang.
“Jika Khalid tewas dalam undi tidak percaya, Beliau perlu sekali lagi mengadap Sultan yang mempunyai budi bicara untuk menerima calon baru menteri besar oleh PR dengan anggapan parti tersebut masih mempunyai majoriti dalam DUN.
“Apa yang lebih membimbangkan, Khalid boleh mencadangkan kepada Sultan untuk membubarkan DUN dan jika Sultan memberi perkenan, satu pilihan raya negeri akan diadakan,” katanya. TMI

Tiada ulasan: