KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Datuk A Kadir Jasin menjangkakan Kongres Nasional PKR Ke-10 bermula 22 hingga 24 Ogos ini di Stadium Melawati, Shah Alam akan menjadi 'mesyuarat krisis' ekoran kemelut politik Selangor yang masih belum bernoktah.
Ini kerana menurut Kadir, kongres kali ini mungkin akan menjadi medan sama ada kemelut politik Selangor dapat diatasi atau sebaliknya jika perwakilan membangkitkan segala permasalahan yang melanda parti itu kini.
"Mungkin kongres PKR kali ini akan menjadi atau membuktikan sama ada krisis ini boleh diatasi, sudahpun diatasi atau akan menjadi lebih buruk.
"Jadi, daripada persidangan biasa yang diadakan mengikut peruntukan undang-undang ia sudah menjadi satu bagi saya mungkin satu 'mesyuarat krisis' bagi PKR.
"Perwakilan boleh membangkitkannya dan kalau kepimpinan tidak memberi penjelasan yang meyakinkan tentulah akan berlaku kekangan antara kepimpinan dengan keahlian," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
Bagaimanapun, menurut Kadir kemelut ini tidak akan menjadi masalah besar jika pemimpin tertinggi PKR bersatu padu.
"Itu bergantung kepada dua pihak, satu kepimpinan parti dan kedua perwakilan. Kalau kepimpinan parti dalam mesyuarat agung tahunan itu menunjukkan kesepaduan, menunjukkan bahawa walaupun krisis telah berlaku dalam kerajaan negeri Selangor dan berkesudahan dengan pemecatan Khalid Ibrahim kita sebagai parti tetap bersatu.
"Kita telahpun mengatasi masalah kita sebelum mesyuarat agung iaitu kita telah menyingkirkan beliau (Khalid). Kalau mereka memberi gambaran itu dan beliau meyakinkan perwakilan saya rasa tidak akan ada masalah.
"Tetapi saya tidak menjangkakan bahawa isu Khalid Ibrahim ini akan menjadi isu besar dalam mesyuarat agung PKR," ujarnya.
Malah Kadir berkata, segala kontroversi yang melanda PKR kini tidak akan dapat memecahbelahkan parti itu meskipun kongres kali ini akan dihujani dengan pelbagai kritikan mahupun ketidakpuasaan hati ahlinya.
"Saya tidak berpendapat ia akan memecahbelahkan dan menyebabkan PKR berpecah.
"Kongres akan berjalan dan saya rasa mesti ada kritikan, sungutan, mesti ada ketidakpuasan tetapi tidaklah membawa kepada penarikan diri besar-besaran. Saya rasa itu tidak berlaku," katanya.
Jelas Kadir, tanda-tanda PKR akan runtuh hanya akan berlaku apabila ahlinya keluar parti secara beramai-ramai ekoran kemelut yang melanda.
"Bagi saya tanda bahawa PKR ini akan runtuh ialah bila kerana pergaduhan itu ahli keluar beramai-ramai, ranting cawangan dibubarkan barulah bagi saya hal yang berlaku.
"Sebab kita kena ingat juga dalam parti PKR ini hak bersuara mungkin lebih banyak daripada dalam parti-parti yang lebih kukuh macam Umno. Jadi, bila boleh bercakap tentulah ada yang buat bising," jelasnya.
Namun tambah Kadir, PKR perlu bimbang jika krisis ini akan menimbulkan persepsi buruk kepada rakyat serta pengundi yang boleh menjejaskan penilaian mereka.
"Persepsi mereka mungkin berubah, krisis dalam PKR mungkin akan menjejaskan penilaian mereka terhadap PKR dan ini hanya akan diketahui bila pilihan raya berlaku dan PKR masih berupa ahli dalam PR. Itu akan berlaku.
"Tetapi selepas berlaku krisis di Selangor sekarang ini mungkin pengundi akan menilai semula. Pengundi mungkin akan berkata dulu kami sokong PR, kami sokong PKR sebab kami menjangka PR dan PKR lebih baik dari Umno-BN tetapi rupa-rupanya lebih teruk.
"PKR bergaduh sesama sendiri, pecat-memecat, tuduh-menuduh. Jadi, mungkin pengundi akan memikirkan semula sokongan kepada PR khususnya kepada PKR," tegasnya.
Walaupun kemelut politik Selangor masih belum bernoktah, PKR memutuskan untuk mengadakan Kongres Nasional PKR Ke-10 bermula 22 hingga 24 Ogos ini di Stadium Melawati, Shah Alam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kongres tahunan kali ini akan membabitkan seramai 3,740 perwakilan dari 220 cabang PKR di seluruh negara.
Kongres ini turut melibatkan mesyuarat tahunan bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR selain menjemput kira-kira 200 jemputan khas untuk menghadiri kongres tersebut. - Antarapos
Tiada ulasan:
Catat Ulasan