Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengesahkan beliau tidak "mengadu" kepada Sultan Selangor berkenaan pergolakan kepimpinan di negeri itu.
"Tidak, tidak," kata menteri besar penggal kedua itu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam hari ini.
"(Saya) tidak ada bercakap dengan Sultan tentang isu di Selangor sekarang ini," katanya.
Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kini berdepan krisis untuk menggantikan Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi meneruskan rancangan "Langkah Kajang" yang dipelopori PKR.
Khalid bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan partinya itu, sebaliknya berkata beliau akan kekal sehingga habis penggal sesi ini.
Pensyarah perundangan berpendapat, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan PKR untuk menggantikan Khalid termasuk usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana akan menyaksikan Khalid terpaksa meletak jawatan bersama barisan exco kerajaan negeri Selangor.
Namun, sekiranya Khalid berkeras, beliau boleh menasihati sultan untuk membubarkan DUN dan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memilih kerajaan baru untuk Selangor.
Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Gurdial Singh Nijar bagaimanapun berpendapat, sultan tidak terikat untuk menuruti permintaan menteri besar untuk membubarkan DUN sekiranya menteri besar enggan berundur meskipun tewas usul undi tidak percaya yang dibuat terhadapnya.
Beliau berkata, sultan sebaliknya perlu menilai sama ada usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadap menteri besar bakal mencetuskan situasi yang mencadangkan urusan DUN tidak boleh dilakukan melainkan dengan pilihan raya menggantikan menteri besar dan pelantikan exco.
"Sekiranya ini boleh dilaksanakan, sultan berhak untuk tidak membubarkan DUN," katanya. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan