SPECIAL ADS

16 Ogos 2014

Khalid adu pada ROS kes disingkir dari PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memfailkan aduan pada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) atas tindakan PKR yang memecat keanggotannya dari parti tersebut.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, aduan yang difailkan melalui Bon Advocates itu menuntut ROS menyiasat sama ada keputusan lembaga disiplin dan majlis pimpinan pusat PKR melanggar perlembagaan parti.

Sekiranya benar melanggar perlembagaan parti, pendaftaran parti itu mungkin dibatalkan, dakwa Utusan.

Peguam New Sin Yew dalam laporan itu mendakwa Khalid gagal mendapat maklumat mengenai keanggota lembaga disiplin yang mendengar kesnya.

Katanya, lembaga itu perlu terdiri daripada enam orang.

"Kita minta ROS siasat. Jika jumlah yang hadir tidak cukup, maka mereka secara sengaja melanggar perlembagaan parti,” katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar milik Umno itu.

Beliau juga berkata, keputusan itu perlu dipersetujui oleh dua pertiga anggota majlis pimpinan pusat untuk membolehkannya berkuatkuasa.

Maklumat itu juga tidak diberitahu pada Khalid, dakwanya yang merumuskan bahawa pemecatan Khalid pada hari Sabtu lalu “cacat” dan tidak mengikut perlembagaan.
 

Tiada ulasan: