Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini menggesa Putrajaya mendedahkan syarikat tempatan yang menjalankan perdagangan eksport ke Israel.
Katanya, pengakuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed tentang adanya hubungan dagang itu mengejutkan kerana ia tidak diketahui umum selama ini.
"Saya ingin minta kementerian senaraikan syarikat yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel, dan komoditi yang didagangkan," katanya dalam satu kenyataan.
"Sebuah garis masa daripada kementerian untuk sebarang keputusan atau tindakan ke atas Israel, termasuk berkenaan hubungan dagang ini perlu dibuat untuk tindakan segera dan tepat pada masanya diambil,” katanya.
Mustapa dilaporkan berkata kerajaan sedang menilai semula hubungan dengan syarikat multinasional dari China, Amerika dan Jepun yang mempunyai perniagaan di Israel, sebagai respon terhadap keganasan yang berlaku di wilayah Gaza.
Bagaimanapun, Nurul Izzah mendakwa keputusan Putrajaya itu bertujuan mengalih perhatian terhadap hakikat wujudnya hubungan perdagangan antara syarikat Malaysia dengan Israel.
Memetik maklumat di laman web Biro Statistik Israel, naib presiden PKR itu mendedahkan, Malaysia pada tahun 2011 mengeksport antara lain, hasil sawit, kelapa dan lain-lain minyak sayuran bernilai kira-kira US$19.41 juta, hasil koko bernilai USD$8.67 juta dan hasil getah bernilai USD$11.54 juta.
"Kerajaan perlu memberikan penjelasan, adakah hasil bumi Malaysia juga ada dieksport terus kepada Israel dan syarikat manakah yang terlibat dalam mengeksport hasil bumi Malaysia ke negara Zionis tersebut," katanya.
Nurul Izzah juga mendesak Putrajaya mengkaji semula posisi Malaysia dalam perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika, yang didakwa penaja utama keganasan Israel.
"Perkara ini perlu diambil kira, sebelum perjanjian seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani," katanya.
Pada Ahad lalu, Mustapa dilaporkan berkata di Kota Baru, kerajaan sedang memperhalusi termasuk mengadakan pertemuan dengan syarikat multinasional yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel sebelum membuat sebarang keputusan dan mengeluarkan kenyataan.
Katanya, Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan hampir semua negara namun kaedah perdagangan pada masa kini menjadikan sesuatu komponen tidak dibuat di satu tempat saja termasuk di Israel.
"Perbincangan sedang berlangsung dan memang ada syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia yang memerlukan komponen yang dibuat di Israel, selain ada juga komponen Malaysia yang dihantar ke Israel.
"Komponen berkenaan kritikal. Jadi, kita akan adakan pertemuan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan. Semuanya sedang diperhalusi kerana sebarang kenyataan yang akan dibuat perlu tepat," katanya.
Pada 2012, Mustapa dipetik berkata, beliau akan menjelaskan isu hubungan dagang dengan Israel pada sidang Parlimen waktu itu.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menyembunyikan Malaysia ada hubungan dagangan dengan Israel, namun sama sekali tidak mengiktiraf negara tersebut yang jelas menindas rakyat Palestin. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan