SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu proses undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Selangor dilakukan bagi mengesahkan dakwaan Ahli Dewan Negeri (Adun) Kajang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Abdul Khalid mahu dakwaan yang dibuat Dr Wan Azizah diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di Dun Selangor sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Kita maklum tentang pengumuman Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor.
"Sungguhpun begitu, dakwaan ini hendaklah perlu diterjemahkan melalui proses undi tidak percaya di Dewan Negeri Selangor sebagaimana yang telah termaktub mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri," ujar Abdul Khalid.
Menurut beliau, proses itu perlu dibuat memandangkan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai peraturan, undang-undang serta proses perundangan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, pemimpin dan pentadbir negeri.
Beliau juga berpendirian bahawa sehingga proses itu berlaku, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan berjalan seperti biasa.
"Kesemua usaha ini adalah tertakluk kepada kuasa DYMM Sultan Selangor," ujarnya.
Dalam satu sidang media yang dihadiri sebahagian Adun Selangor termasuk dua Adun PAS pagi tadi, Dr Wan Azizah mengumumkan telah menerima sokongan 30 Adun bagi membolehkan beliau menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan